Khamis, 14 Oktober 2010

Berita Harian Online | Kerajaan perlu kurangkan pembabitan dalam GLC

Kerajaan perlu kurangkan pembabitan dalam GLC

2010/10/11
Peranan terlalu ketara jejas minat swasta, pelaburan asing

KERAJAAN perlu terus mengurangkan pembabitannya menerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) secara berperingkat supaya pelaburan swasta dan asing dapat ditingkatkan.
Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara, Senator Tan Sri Amirsham Abdul Aziz, berkata ia bagi mencapai sasaran menarik pelaburan RM1.3 trilion dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Katanya, pembabitan kerajaan menerusi sistem ekonomi negara terutama GLC terlalu ketara sehingga menjejaskan minat swasta dan pelaburan asing.

“Sebanyak 40 peratus daripada urus niaga di Bursa Saham dikuasai oleh GLC dan ia perlu diubah bagi membolehkan syarikat swasta turut serta.

“Bukan saya menentang. Cuma saya berpendapat orang lain juga perlu diberi ruang. Kerajaan boleh melakukannya secara berperingkat bagi menarik pelabur asing dan syarikat swasta melabur di negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian pada debat perdana ilmiah bertajuk ‘Adakah Kita Ketinggalan Dalam Pengukuhan Ekonomi Untuk Menjadi Ekonomi Maju’ anjuran Pusat Pengajian Perniagaan Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang, kelmarin.
Sesi pertama debat itu turut disertai Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob; Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysian (MICCI), Charles Ireland dan Pengerusi Dewan Perniagaan British Malaysia, Jonathan Addis.

Mengulas mengenai dakwaan GLC tidak memberi manfaat serta melewatkan sesebuah projek pelaburan, Amirsham berkata, pembabitan GLC dalam ekonomi bukan isu utama, cuma ada campur tangan serta mereka tidak bebas untuk membuat keputusan.

"Kalau boleh kita lantik golongan profesional untuk menerajuinya dan jika gagal, kita pecat mereka," katanya.

Sementara itu, Sulaiman berkata, pihak swasta boleh memainkan peranan dalam sistem ekonomi negara dengan membantu membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Potensi PKS cukup besar terutama dalam meningkatkan pelaburan domestik di negara ini. Jadi mereka harus ambil 
peluang itu,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian Online | Kerajaan perlu kurangkan pembabitan dalam GLC

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...