Transformasi perlu pengorbanan
Oleh Ahmad Zaini Kamaruzzaman di New York
2010/09/27
NAJIB dan Rosmah bersama (dari kanan) Anifah, Jamaludin dan Pairin memotong kek pada majlis Aidilfitri bersama rakyat dan pelajar Malaysia di Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia PBB, semalam.
ATUK Seri Najib Razak berkata, usaha mentransformasi negara memerlukan pengorbanan rakyat yang sanggup mengetepikan segala perbezaan dan persengketaan politik agama dan kaum.
Perdana Menteri berkata, bagi mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi, negara juga memerlukan rakyat yang beretika dan bernilai tinggi untuk menjadikan Malaysia sebagai antara negara terulung di dunia dalam abad ke-21.
“Kita mampu melakukannya, tetapi mesti bersatu. Kita percaya Malaysia boleh berjaya dalam abad ke-21. Mari bersama saya dalam perjalanan gilang gemilang dalam usaha mentransformasikan Malaysia serta mencapai matlamat 1Malaysia.
“Kita juga perlu percaya untuk mencapai apa yang kita cita-citakan,” katanya pada majlis Aidilfitri bersama rakyat dan pelajar Malaysia di Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini, semalam.
Pada majlis yang turut dihadiri Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman; Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Jamaludin Jarjis dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Pairin Kitingan, Perdana Menteri dan isteri turut berinteraksi kira-kira sejam menerusi televideo dengan pelajar dan warga Malaysia di Tennessee, Colorado, Chicago, Los Angeles, Penssylyvinia dan Washington.
Najib berkata, bagi mencapai cita-cita membentuk negara pendapatan tinggi, rakyat mesti bersatu dalam satu impian, visi dan 1Malaysia supaya negara menjadi lebih kukuh dan kuat.
“Saya komited sebagai Perdana Menteri akan melakukan yang terbaik untuk memakmurkan dan mengukuhkan Malaysia. Namun kita mesti ingat bahawa sikap prejudis dan pandangan ekstrem adalah faktor yang akan memecahbelahkan kita.
“Kita juga perlu ingat bahawa Islam menolak sikap ekstremis dan keganasan,” katanya yang berada di sini untuk menyampaikan ucapan sulungnya pada Perhimpunan Agung PBB ke-65, malam ini (waktu Malaysia).
Ketika berinteraksi dengan pelajar Malaysia, Najib dan Rosmah meminta mereka tidak melupakan pengorbanan ibu bapa dengan belajar bersungguh-sungguh mencapai tahap cemerlang dan kembali membantu membangunkan rakyat serta negara.
Perdana Menteri juga sempat bergurau dan menasihati mereka supaya menjaga diri dan bertanya mengenai tempat yang menarik di kawasan mereka belajar, manakala Rosmah memaklumkan sebagai ibu beliau memahami perasaan ibu bapa yang sentiasa mendoakan dan terkenang anak mereka di luar negara pada sambutan Aidilfitri, terutama ketika menjamah ketupat, lemang dan rendang di kampung.
Ketika ucapannya, Najib berkata, Malaysia dan negara anggota ASEAN perlu menunjukkan profil sebagai negara yang mampu menarik pelaburan, termasuk dari AS bagi menyaingi India dan China yang dilihat sebagai potensi lebih besar di kalangan pelabur.
Beliau berkata, negara ASEAN perlu memastikan potensi yang ada tidak tenggelam dan dibayangi kawasan lain seperti India serta China dan menganggap perbincangan ASEAN dengan AS yang diketuai Presiden Barack Obama di sini kelmarin, amat penting.
0 ulasan:
Catat Ulasan