Individu gemar tangguh lunaskan hutang dianggap zalim
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
2010/09/28
PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) gagal memenuhi sasaran mengutip semula bayaran balik pinjaman berjumlah RM23 bilion yang dikeluarkan sejak 1997 sebaliknya, hanya RM1.8 bilion dapat dikutip berbanding RM3.6 bilion disasarkan, pencapaian tidak sampai 10 peratus.
Kadar kutipan balik pinjaman yang rendah ini menggambarkan sikap tidak bertanggungjawab peminjam yang diberi kemudahan tetapi liat membayar balik pinjaman.
Sepatutnya, peminjam bersikap lebih positif, berterima kasih kepada PTPTN menyediakan dana besar untuk membiayai pengajian masing-masing. Usahlah jadi kacang lupakan kulit, sebaliknya hargailah inisiatif kerajaan dengan membuat pembayaran balik sebaik tamat pengajian dan berkerjaya.
Sejak zaman Rasulullah SAW lagi, amalan berhutang sudah berlaku. Baginda pernah berhutang seekor unta dan kemudian membayar hutang itu dengan unta yang lebih besar dan lebih baik daripadanya.
Kini, berhutang sudah menjadi sebahagian kehidupan masyarakat. Malangnya, ramai pula yang hanya tahu berhutang, tetapi tidak berusaha untuk melangsaikan hutang mengikut perjanjian yang dibuat hingga penjamin terpaksa memikul beban.
Islam menggariskan beberapa persoalan mengenai hukum berhutang, ganjaran pemberi hutang serta kaedah membuat bayaran balik hutang.
Rasulullah SAW mengingatkan orang berharta yang asyik menangguhkan pembayaran hutang adalah termasuk dalam perbuatan zalim. Pada dasarnya, Islam tidak menggalakkan umatnya berhutang.
Memberi hutang boleh bertukar menjadi wajib apabila ia bertujuan memenuhi keperluan mendesak, seperti membantu mereka yang sangat memerlukan, menghadapi musibah, bencana alam dan golongan kurang upaya.
Bagi pihak yang berhutang, Rasulullah SAW mengingatkan mereka akan terus terikat dengan pembayaran balik hutang yang dibuat. Dia mesti menjelaskan hutangnya ketika hidup kerana apabila seseorang berhutang meninggal dunia sewaktu masih menanggung hutang, maka rohnya akan tergantung di antara langit dan bumi sehinggalah dijelaskan hutang itu.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jiwa orang mukmin itu tergantung dengan hutangnya (iaitu dia belum dihukum, sama ada kebaikannya atau kejahatannya) sehinggalah dia menjelaskan hutangnya.” (Hadis riwayat Muslim)
Tetapi bagi yang tidak mampu melangsaikan hutang hinggalah ia meninggal dunia, maka soal hutangnya akan menjadi tanggungjawab Baitulmal seperti berlaku pada zaman Rasulullah SAW.
Ada ulama berpendapat hutang tadi berpindah kepada waris simati. Jika anak juga miskin, kemungkinan hutang tadi balik kepada cara yang pertama, iaitu diserahkan kepada kerajaan.
Firman Allah bermaksud: “Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesusahan, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan sedekahkan (sebahagian atau semua) itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” Surah al-Baqarah, ayat 280
Dalam masalah hutang, sunat memberi hutang dalam keadaan biasa tetapi wajib dibayar oleh pengambil hutang jika sampai tempohnya. Jika belum cukup tempoh dijanjikan, pemberi hutang tidak boleh memintanya.
Diceritakan Anas, seorang lelaki antara kami memberi hutang suatu barang kepada temannya. Kemudian orang yang berhutang tadi memberi hadiah kepadanya. Hal ini diceritakannya kepada Rasulullah.
Jawab Baginda: “Apabila salah seorang antara kamu memberi hutang sesuatu kemudian diberi hadiah atau dinaikkan ke atas kenderaannya, maka janganlah diterima hadiah itu dan janganlah naik kenderaan itu, kecuali jika sememangnya antara kedua-duanya itu biasa berlaku demikian sebelum terjadi hutang-piutang itu.” (Hadis riwayat
Ibnu Majah)
Berita Harian Online | Individu gemar tangguh lunaskan hutang dianggap zalim
Label:
Agama
Selasa, 28 September 2010
Berita Harian Online | Individu gemar tangguh lunaskan hutang dianggap zalim
Dicatat oleh Maria Eisya Khadija (e.m.a.s.) di Selasa, September 28, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan