Isnin, 27 September 2010

Berita Harian Online | Syor bantu Amerika atasi Islamofobia bukan retorik


Syor bantu Amerika atasi Islamofobia bukan retorik


2010/09/27

KUALA LUMPUR: Cadangan untuk membantu Amerika Syarikat menangani Islamofobia bukan sekadar satu retorik, sebaliknya ia adalah bukti kepada kemampuan dan kebijaksanaan Malaysia dalam menentukan hala tuju negara berpandukan kepada agama selama ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata Malaysia membuktikan kemampuan melonjakkan diri sebagai negara maju tanpa mengetepikan Islam sebagai agama rasmi negara, bahkan meletakkan ia seiring perkembangan dan kemajuan ekonomi.
“Amat penting untuk kita menonjolkan kepada dunia Barat yang Islam itu agama yang sederhana dan Malaysia boleh menjadi bukti yang terbaik kerana keamanan yang terpelihara, walaupun ditunjangi kepelbagaian kaum dan agama
“Malaysia boleh diibaratkan sebagai model untuk negara lain kerana tidak meletakkan Islam di sudut terpencil, sebaliknya bergerak seiring dalam memacu perjalanan dan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi di sini semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di New York kelmarin menyatakan hasrat membantu Amerika Syarikat (AS) menangani masalah Islamofobia.

Sementara itu, bekas Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut ketika dihubungi berkata, keindahan dan kemurnian Islam sebagai agama sejagat sewajarnya ditonjol dengan meluas khususnya oleh pemimpin yang berkedudukan di mata dunia.

“Islam adalah agama untuk kedamaian, agama untuk kebahagiaan, agama untuk keselamatan. Jika boleh lebih baik jika negara di Asia Barat juga bekerjasama dalam menangani masalah Islamofobia ini kerana Islam berasal dari Tanah Arab,” katanya.

Berita Harian Online | Syor bantu Amerika atasi Islamofobia bukan retorik

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...