Persoalan Agama: Akhlak keutamaan pilih pasangan hidup
Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
bminggu@bharian.com.my
2010/09/19
SEJAK akhir-akhir ini banyak laporan mengenai kejadian amuk dan jenayah dilakukan mereka yang dikatakan sakit mental. Persoalannya, dalam Islam sendiri sudah ditegaskan kita tidak boleh berkahwin dengan mereka yang tidak siuman tetapi itu yang banyak berlaku sekarang. Boleh ustaz jelaskan kepentingan mencari pasangan mengikut ciri-ciri ditetapkan agama. Nur,
Perak. Allah SWT berfirman dalam surah al-Nur ayat 26 yang bermaksud: “Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji dan lelaki yang keji adalah buat wanita yang keji (pula) dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik”.
Islam mengajar umatnya supaya berhati-hati dalam soal mencari pasangan hidup kerana ia menentukan kebahagiaan kita selepas berkahwin. Apabila seseorang itu sudah memilih pasangannya, maka ia akan menjadi sebahagian hidupnya. Apabila seorang lelaki memilih isteri yang baik, insya-Allah anak akan terdidik dengan baik dan lahirlah ketenangan dan kebahagiaan dalam rumah tangga.
Sebaliknya jika memilih isteri yang bermasalah, dibimbangi anak akan bermasalah dan lahirlah keluarga bermasalah. Begitu juga dalam memilih suami, kerana suami adalah ketua rumah tangga. Jika perempuan itu bersetuju berkahwin dengan lelaki yang baik, nescaya ia akan membawa si isteri kepada kebahagiaan.
Sebaliknya jika ia bersetuju dengan ketua keluarga yang keji, nescaya akibat buruknya adalah kembali kepada dirinya. Kerana itu, apabila berlaku permasalahan dalam rumah tangga, sebenarnya ia hasil daripada pemilihan kita ketika hendak mencari pasangan hidup. Menyesal kemudian tiada gunanya.
Justeru, Islam menitikberatkan soal pemilihan pasangan seperti pesanan Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: “Perempuan itu dinikahi kerana empat perkara, kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan kerana agamanya, lalu pilihlah perempuan yang beragama nescaya kamu bahagia.”
Antara ciri yang sepatutnya diambil keutamaan oleh seorang lelaki ketika memilih pasangan iaitu pertama beragama dan berakhlak. Beragama bukan bermaksud memperoleh pendidikan agama semata-mata tetapi perempuan yang mengamalkan agama dalam hidupnya. Perempuan yang beragama mengetahui tanggungjawabnya apabila mendirikan rumah tangga. Perempuan yang ada pendidikan agama dan mengamalkan agamanya akan berusaha menjadi isteri yang salih. Sedangkan isteri yang salih adalah sebaik-baik perhiasan dunia bagi suami. Begitu juga akhlak, kerana akhlak ini akan menghasilkan ketenangan dan keharmonian dalam rumah tangga.
Dalam surah al-Baqarah ayat 221, Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu nikahi wanita-wanita musyrik sebelum mereka beriman. Sesungguhnya wanita yang Mukmin lebih baik dari wanita musyrik, walaupun ia menarik hatimu … .” Begitu juga dalam surah an-Nisa’ ayat 34: “Maka wanita-wanita yang solehah adalah yang taat kepada Allah SWT lagi memelihara dirinya, oleh kerana itu Allah memelihara mereka.”
Kedua, pilihlah wanita yang penyayang (wadud) dan banyak anak (walud). Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad, daripada Anas bin Malik, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda: “kahwinilah perempuan penyayang dan banyak anak …Antara ciri perempuan yang walud, lihatlah pada ibunya atau saudara perempuannya yang sudah berkahwin.
Ketiga, pilihlah gadis. Ini kerana gadis akan mencurahkan kelembutan dan kehalusannya kepada lelaki pertama yang melindunginya. Sebaliknya jika memilih janda, akan timbul sikap membanding-bandingkan suami pertama dan kedua. Dalam hadis daripada Jabir, beliau berkata, saya sudah menikah maka kemudian saya mendatangi Nabi SAW dan Baginda bersabda : “Apakah kamu sudah menikah ?” Jabir berkata, ya sudah. Bersabda Rasulullah : “Gadis atau janda?” Maka saya menjawab, janda. Rasulullah bersabda : “Maka mengapa kamu tidak menikahi gadis, kamu boleh bermain dengannya dan dia boleh bermain denganmu.”
Keempat, tidak memilih orang yang dekat (kerabat) agar lebih memperluas ikatan keluarga dan hubungan sosial. Begitu juga, untuk menghindari sekiranya ada penyakit keturunan dari nenek moyangnya. Wallahua’lam.
INFO
SEBARANG kemusykilan sila hantarkan soalan ringkas menerusi e-mel bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu,
Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.
0 ulasan:
Catat Ulasan