(Sumber dari Berita Harian, 2010/04/16)
INSTITUT Penyelidikan Ekonomi Malaysia (Mier) menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun ini kepada 5.2 peratus daripada 3.7 peratus yang diunjurkannya sebelum ini susulan kemunculan petunjuk pemulihan ekonomi yang lebih jelas.
Pengarah Eksekutifnya, Dr Zakaria Abdul Rashid, berkata unjuran terbaru Mier itu antara lain mengambil kira pemulihan dalam eksport serta peningkatan keyakinan pengguna dan peniaga khususnya dalam suku pertama tahun ini.
“Penggunaan swasta dalam negara yang kekal bertahan dan kukuh akan memacu pertumbuhan. Selain itu, eksport juga sudah menunjukkan pemulihan dalam suku keempat 2009 dan suku pertama 2010.
“Keyakinan pengguna dan peniaga diukur oleh Indeks Sentimen Pengguna (CSI) dan Indeks Sentimen Peniaga (BSI) Mier juga menunjukkan arah aliran peningkatan jelas. Kami juga menjangka ia terus meningkat,” katanya selepas Taklimat Ekonomi Korporat Mier ke-15 di Kuala Lumpur semalam.
Zakaria berkata, susulan kedudukan asas ekonomi lebih baik tahun ini, nilai ringgit berpotensi meningkat kepada RM3 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun ini.
Namun. katanya, kenaikan nilai ringgit itu tidak memberi kesan besar kepada daya saing eksport negara kerana sebahagian besar adalah dibuat dalam dolar AS.
“Kita jual dan beli barangan barangan dalam dolar AS, jadi saya tidak menjangka kenaikan ringgit itu akan memberi kesan negatif yang besar kepada sektor eksport Malaysia,” katanya.
Zakaria menjelaskan, sektor elektronik dan elektrikal dijangkakan kembali menerajui pertumbuhan ekonomi negara kerana wujud petunjuk sektor berkenaan akan meneruskan peningkatan sebanyak 23.5 peratus yang dicatat pada Februari lalu.
“Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) juga menjangka sektor berkenaan akan meningkat 9.5 peratus tahun ini, justeru akan memberi kesan positif kepada Malaysia.
“Selain itu, pendapatan eksport dalam sektor minyak sawit dan pembalakan juga diunjurkan lebih baik susulan kenaikan harga komoditi itu di peringkat antarabangsa,” katanya.
Mengenai kadar faedah, Zakaria berkata, Mier menjangka Bank Negara Malaysia akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada sehingga 2.75 peratus tahun ini.
“Wujud sedikit tekanan ke atas harga di peringkat serantau dan Malaysia tidak terkecuali. Indeks Harga Pengguna (CPI) iaitu pengukur kadar inflasi negara dijangka meningkat 2.2 peratus tahun ini daripada 0.6 peratus tahun lalu.
“Susulan peningkatan CPI serantau. Kami menjangkakan Bank Negara akan menaikkan OPR kepada sehingga 2.75 peratus tahun ini, dan sehingga 3.25 peratus tahun depan susulan pertumbuhan ekonomi lebih baik,” katanya.
Label:
Malaysiaku
Ahad, 18 April 2010
Mier naik unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia
Dicatat oleh Maria Eisya Khadija (e.m.a.s.) di Ahad, April 18, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan