Selasa, 27 April 2010

bharian: BNM dedah panggilan telefon tipu kad kredit

(Sumber Berita Harian, 2010/04/23)

BANK Negara Malaysia mendedahkan mengenai kemunculan kes cubaan penipuan kad kredit menerusi panggilan telefon.

Bank pusat itu dalam kenyataannya semalam berkata, berdasarkan aduan diterimanya, terdapat peningkatan kejadian panggilan telefon yang diterima pemegang kad kredit yang bertujuan mendapatkan maklumat perbankan dengan tujuan mengambil wang daripada akaun mereka.



Katanya, berdasarkan siasatan, modus operandi kegiatan penipuan itu adalah mereka akan membuat panggilan telefon kepada pemegang kad kredit dengan mendakwa pegawai sebuah ‘bank perdagangan’ dan meminta pemegang kad kredit berkenaan mengesahkan pembelian barangan di luar negara yang kononnya dicaj kepada kad kredit mereka.

“Setelah pemegang kad kredit menyatakan beliau tidak membuat transaksi berkenaan, pemanggil itu akan berpura-pura bersimpati dengan apa yang berlaku dan menasihatkan pemegang kad kredit itu menghubungi nombor yang kononnya adalah nombor telefon ‘Unit Kad Kredit Palsu’ di Bank Negara untuk membuat aduan.

“Apabila pemegang kad kredit itu menghubungi nombor telefon berkenaan, mereka akan disambut sistem pesanan suara yang menyatakan tempat itu sebagai Bank Negara dan panggilan itu kemudian dijawab seseorang yang mendakwa sebagai pegawai Bank Negara Malaysia.

“Pegawai itu akan meminta maklumat berkaitan akaun perbankan serta kad kredit pemegang kad kredit dan kemudian memintanya supaya memindahkan wang di kaunter kepada akaun pihak ketiga atas alasan memastikan wang mereka dilindungi,” katanya.

Bank Negara berkata, dalam kes lain pula, penipu itu akan meminta maklumat perbankan dan akaun kad kredit untuk membuat pindahan dana secara haram.
Susulan itu, bank pusat itu dalam kenyataannya mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada apabila menerima sebarang panggilan yang menyatakan bahawa mereka adalah daripada Bank Negara atau mana-mana bank perdagangan.



Ia juga menegaskan bahawa tiada jabatan ‘Unit Kad Kredit Palsu’ di Bank Negara dan nombor telefon 03-2772-XXXX adalah bukan taliannya.

Bank pusat itu turut mengingatkan orang ramai yang mempunyai akaun bank supaya tidak mendedahkan nombor pengenalan peribadi (PIN) dan kata laluan akaun mereka kepada pihak ketiga kerana menurutnya pihak bank tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui panggilan telefon.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...