Selasa, 27 April 2010

bharian: Muhyiddin syor pencipta daftar awal harta intelek

(Sumber Berita Harian, 2010/04/27)

MUHYIDDIN dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Ismail Sabri melawat pameran sempena Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2010 di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pencipta paten atau harta intelek segera mendaftarkan ciptaan kreativiti mereka ketika ia masih lagi pada peringkat perancangan dan bukan menunggu untuk melakukannya ketika di peringkat akhir.

Timbalan Perdana Menteri berkata, paten atau harta intelek perlu didaftarkan segera supaya kreativiti yang dihasilkan tidak mudah ditiru pihak lain.



"Kalau buat begitu (daftar segera) tidak akan ada mana-mana pihak yang boleh mengambil apa-apa bentuk kreativiti yang ada nilai harta intelek daripada pakar tempatan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2010 di sini, semalam.

Muhyiddin ditanya pemberita mengenai langkah yang perlu diambil untuk memastikan paten atau harga intelek hasil ciptaan anak tempatan tidak ditiru orang luar.

Beliau turut mengingatkan pencipta tempatan memastikan pendaftaran paten atau harta intelek yang dibuat turut meliputi perlindungan di luar negara.

"Sebab itu mereka perlu mendaftar melalui MyIPO (Perbadanan Harta Intelek Malaysia) yang pendaftarannya meliputi seluruh dunia... kalau tidak, pihak lain mungkin mengambil kesempatan daripada penemuan dilakukan di Malaysia," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu meningkatkan pengetahuan selain mengeksploitasi sepenuhnya potensi sistem harta intelek bagi memastikan mereka lebih berdaya saing, berinovasi dan berupaya meningkatkan akses pasaran.
"Majoriti PKS didapati lebih menumpukan kepada pengurusan aset ketara seperti kewangan dan infrastruktur serta mengabaikan aset tidak ketara seperti modal insan, pengetahuan berkaitan idea, jenama, reka bentuk dan lain-lain hasil kreativiti serta inovatif.

“Kekurangan pengetahuan tentang harta intelek dan persepsi bahawa proses perlindungan harta intelek adalah rumit, memakan masa dan membabit kos tinggi juga perlu diperbaiki,” katanya.

Muhyiddin berkata, bilangan permohonan harta intelek yang difailkan dan didaftarkan di MyIPO mencatatkan pertambahan dengan jumlah permohonan paten meningkat 13 peratus, iaitu daripada 5,062 pada 2003 kepada 5,737 pada 2009.

Sementara itu jumlah paten yang didaftarkan meningkatkan 119 peratus iaitu daripada 1,578 pada 2003 kepada 3,468 pada 2009.

"Dalam tempoh sama, bilangan paten difailkan oleh rakyat Malaysia meningkat lebih 20 peratus,” katanya.



Nisbah bilangan permohonan paten oleh rakyat Malaysia berbanding warga asing meningkat daripada tujuh peratus pada 2003 kepada 22 peratus pada 2009," katanya.

Muhyiddin berkata, bilangan permohonan cap dagangan turut meningkat 35.38 peratus daripada 17,776 pada 2003 kepada 24,070 pada 2009, manakala jumlah cap dagangan yang didaftarkan meningkat 2.5 peratus, iaitu daripada 12,122 pada 2003 kepada 14,972 pada 2009.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...