Sabtu, 24 April 2010

bharian: Gaji minimum jaga RM1,100 mulai Julai

(Sumber dari Berita Harian, 2010/04/23)

KUALA LUMPUR: Kira-kira 190,000 pengawal keselamatan akan menikmati kenaikan gaji pokok antara 67 peratus hingga 75 peratus kepada RM1,100 hingga RM1,450, mulai 1 Julai depan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata pekerja sektor keselamatan ketika ini menerima gaji pokok antara RM300 hingga RM400.




Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen semalam, beliau berkata keputusan menaikkan gaji itu dilakukan mengikut Akta Majlis Penetapan Gaji 1947. “Saya mengharapkan dengan kenaikan gaji pokok itu, dapat menarik lebih ramai warga tempatan menyertai sektor keselamatan, sekali gus mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing,” katanya.

Ketika ini ada antara 30,000 hingga 40,000 pengawal keselamatan warga asing.

Subramaniam berkata, Majlis Penetapan Gaji juga sedang menyediakan kertas kerja bagi pekerja di sektor perkhidmatan, elektronik dan tekstil.

"Kita berharap dapat mengumumkan gaji pokok minimum dalam sektor hospitaliti sebaik saja kajian mengenainya selesai dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi. Kita memerlukan lebih masa mengkaji gaji minimum untuk pekerja industri lain," katanya.





Sementara itu, katanya, kementerian dalam proses mengkaji semua undang-undang buruh untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi selaras dengan Model Ekonomi Baru (MEB) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...