Oleh Jamhariah Jaafar
jamhariah@bharian.com.my
(Sumber dari Berita Harian, 2010/04/02)
PM terus lancar pelbagai program untuk ditangani segera
TIDAK ada langsung ruang untuk bernafas lega, apa lagi untuk berehat bagi Perdana Menteri ke-6. Sejak mengambil alih kepemimpinan negara setahun lalu, Datuk Seri Najib Razak, serta merta menanggung beban krisis kepemimpinan parti dan kerajaan, ditambah dengan 1,001 macam isu politik yang dicetus pembangkang hampir setiap hari.
Ia bagaikan replika sejarah ayahnya, Tun Abdul Razak Hussein, ketika mengambil alih kepemimpinan sebagai Perdana Menteri kedua daripada Tunku Abdul Rahman Putra, meleraikan krisis perkauman paling serius dalam sejarah negara pada 1969/70.
Analisis mengenai kepemimpinan Najib ada pro dan kontra, apa lagi ia bukan sekadar membabitkan prestasi sebagai individu yang memegang jawatan Perdana Menteri, bahkan turut membabitkan menteri dan timbalan menteri di dalam Kabinet.
Seperti Perdana Menteri terdahulu, Najib turut memperkenalkan slogan yang diharap dapat diingati sebagai perjuangan utamanya. Konsep 1Malaysia, slogan ‘Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan’, pelancaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), transformasi ekonomi dan terkini Model Ekonomi Baru (MEB) dilancarkan di tengah-tengah pelbagai krisis ekonomi dan politik yang datang silih berganti.
“Selama setahun ini, saya nampak strategi Perdana Menteri adalah memikir bagaimana untuk memulihkan keyakinan rakyat. Beliau sudah mula memikirkan program yang boleh dilakukan sejak menjadi Timbalan Perdana Menteri lagi.
“Jadi sebaik saja menjadi Perdana Menteri, Najib terus melancarkan program demi program bagi memastikan pelbagai isu yang dialami kerajaan BN dapat ditangani dalam tempoh secepat mungkin,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.
Ramai awalnya merungut mengenai konsep 1Malaysia disasarkan untuk memulihkan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum. Walaupun ramai cuba mengambil kesempatan daripada konsep begitu luas pengertiannya itu, Najib sejak awal lagi bertegas iaitu:
“1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.
“Ia bukan satu pendekatan yang terpisah daripada dasar kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, sebaliknya ia adalah pelengkap kepada pendekatan sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara.”
Mahu tidak mahu isu perkauman tercetus disebabkan konsep ini, berikutan kaum Bumiputera rasa tercabar apabila rakan daripada kaum lain cuba mengaitkan ia dengan hak kesaksamaan bagi semua bangsa.
Rentetan gelora mencetuskan penubuhan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), yang kini menjadi pentas untuk bangsa Melayu meluahkan rasa hati. Namun Presidennya, Datuk Ibrahim Ali, mengakui hakikat pentingnya pengenalan 1Malaysia untuk mengembalikan keharmonian dan keamanan kepada rakyat pelbagai bangsa negara ini.
“Konsep 1Malaysia memang sudah menerima banyak tanggapan dangkal. Perdana Menteri sendiri menegaskan ia adalah slogan yang bertujuan untuk membawa seluruh rakyat Malaysia bersatu. Beliau sudah beberapa kali menegaskan bahawa ia tidak sesekali akan membabitkan Perlembagaan Negara… maknanya yang penting ialah asas pengisian yang mesti bersandar pada perlembagaan,” katanya mengulas mengenai slogan yang semakin dihayati dan diterima rakyat itu.
Ibrahim berkata, walaupun baru setahun, Najib berjaya membuktikan kewibawaan diri, tidak mudah emosi dan kelihatan amat tenang dalam menangani krisis demi krisis terutama serangan di gelanggang politik yang turut membabitkan kehidupan peribadinya.
“Jelas, dalam apa juga krisis yang berlaku, Najib memperlihatkan ketenangan, tidak mudah melatah dan paling penting suasana dan keadaan keselamatan dalam negara terkawal setiap masa,” katanya.
Datuk Seri Azmi Khalid yang juga Pengerusi Kira-kira Wang Negara (PAC) berkata, setakat ini semua isu kewangan negara membabitkan pentadbiran lalu dan ketika ini, Najib menunjuk sikap yang telus dalam merancang dan melaksanakan program ekonomi negara.
“Kita tidak boleh membuat perbandingan sekarang, yang penting Najib sudah meletakkan krisis rasuah sebagai satu daripada enam penanda aras dalam NKRA. Perdana Menteri memperkenalkan banyak perubahan dan pemulihan, tetapi yang kita nampak pelaksanaannya masih belum sampai ke peringkat bawahan… jabatan dan kakitangan kerajaan masih belum berubah,” katanya.
Antara perubahan yang perlu dilihat Najib ialah ‘empayar’ yang dikuasai segelintir kakitangan kerajaan di mana ada menteri sendiri tidak mampu menanganinya, sistem e-filing yang tidak memberi jawapan secara langsung kepada ahli perniagaan serta sistem kewangan yang berpusat kepada Kementerian Kewangan.
“Najib sudah meletakkan mekanisme yang baik, tetapi ia mesti dilaksanakan pada semua peringkat. Kita sudah tidak mampu lagi hanya berfalsafah dan beretorik, semua mata melihat keikhlasan kita dalam melaksanakan tugas sebagai kerajaan,” katanya.
Datuk Mukhriz Mahathir pula berkata kumpulan anak muda berasa yakin dengan pemerintahan BN di bawah kepemimpinan Najib.
“Beliau langsung tak sempat nak honeymoon. Sebaik saja naik sebagai Perdana Menteri terus bekerja kerana kita berdepan pelbagai krisis. Keadaan ini sama seperti pernah dialami bapanya (Tun Razak) dulu.
“Sebagai pemimpin muda, kami berasa semakin yakin kerana pemimpin atasan menggariskan tugas yang perlu dilakukan. Kita, anak muda perlu diberitahu apa yang perlu dilakukan dan bagaimana untuk dilakukan… dan ini yang dilakukan Perdana Menteri,” katanya.
Pemimpin muda, Yusmadi Ismail, Ahli Parlimen Balik Pulau dari Parti Keadilan Rakyat, juga berasa Najib sudah melakukan tugas dengan baik ke arah pengukuhan ekonomi.
“Sebagai anak muda, seorang pemimpin politik senior yang menggunakan pendekatan teknologi seperti Perdana Menteri, ia adalah sesuatu yang boleh dipuji. Ia adalah suatu usaha menepati cita rasa anak muda yang mempunyai ‘expectation’ tinggi,” katanya.
Begitu pantas masa berlalu, Najib sendiri sudah pasti tidak sedar betapa beliau sudah menjadi Perdana Menteri selama setahun.
Label:
Rencana Malaysia
Ahad, 4 April 2010
bharian: Najib sentiasa berfikir pulih keyakinan rakyat
Dicatat oleh Maria Eisya Khadija (e.m.a.s.) di Ahad, April 04, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan