Jumaat, 2 April 2010

bharian: 'Najib bukti keupayaan sebagai pemimpin rakyat'

(Sumber dari Berita Harian, 2010/04/02)

GEORGETOWN: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang genap setahun esok amat bermakna bagi Perdana Menteri yang berjaya menunjukkan keupayaannya sebagai pemimpin untuk semua.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Najib mempunyai visi jelas memajukan Malaysia menjelang 2020 dan ia dibuktikan dengan pengenalan pelbagai insentif serta transformasi dalam kerajaan serta rakyat.

"Beliau menggunakan aspek paling penting, iaitu menyentuh perasaan rakyat dengan mengutamakan mereka. Kenyataan beliau yang zaman kerajaan tahu semua sudah berakhir membuktikan komitmennya.



"Sebab itu rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan menjadi kata kuncinya sejak menjadi Perdana Menteri," katanya ketika diminta mengulas pencapaian Najib yang memegang jawatan itu sejak 3 April tahun lalu.

Muhyiddin berkata, Najib memperkenalkan beberapa insentif, antaranya gagasan 1Malaysia bagi meningkatkan perpaduan dan pembangunan sosioekonomi tanpa mengira kaum yang jelas diterima rakyat.

“Perdana Menteri juga memperkenalkan Model Ekonomi Baru (MEB) yang prinsip pentingnya menjadikan rakyat Malaysia berpendapatan tinggi dan tidak terperangkap dalam pendapatan sederhana. MEB memberi ruang kepada semua pihak untuk terbabit tidak kaum, pengusaha sektor perdagangan dan badan bukan kerajaan (NGO)," katanya selepas merasmikan pecah tanah depot simpanan bitumen Innate Synergy Sdn Bhd (ISSB), di sini semalam.

Dalam ucapannya, Muhyiddin meminta bank perdagangan tidak terlalu menekan dan menyusahkan peniaga kecil serta usahawan yang ingin mendapatkan modal dengan mengenakan syarat yang ketat, sebaliknya memberi pertimbangan kepada usahawan tempatan layak serta berdaya saing terutama dalam menghadapi kegawatan ekonomi global.
"Syarat yang ketat menyebabkan banyak pinjaman tidak dapat diberikan dan akhirnya banyak syarikat kecil yang ingin membesarkan perniagaan terhalang," katanya.

Beliau juga meminta syarikat besar, terutama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terus membantu syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi pelbagai program pembangunan, aktiviti penggabungan, pemindahan teknologi dan pembangunan vendor.

Muhyiddin berkata, SME memerlukan sokongan dan bantuan GLC dan bank kerana keupayaan yang dimiliki
usahawan itu adalah terhad untuk bersaing di peringkat global.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...