Selasa, 27 April 2010

bharian: Upin, Ipin ke India Mei selepas tawan Indonesia

(Sumber Berita Harian, 2010/04/22)

FILEM animasi Geng: Pengembaraan Bermula, yang menampilkan ikon terkenal Upin dan Ipin, dijangka menembusi pasaran India bulan depan selepas menempa kejayaan di Indonesia.

Pengarah Urusan Les' Copaque Sdn Bhd, Burhanuddin Mohd Radzi, berkata kejayaan Upin dan Ipin ketika ditayangkan di Indonesia menambahkan keyakinan pihaknya untuk meneroka pasaran India dan mengenal-pasti negara Amerika Latin sebagai sasaran seterusnya.



Katanya, sambutan di Indonesia adalah lebih tiga kali ganda berbanding di Malaysia dengan penonton di sana begitu meminati Upin dan Ipin termasuk sanggup berbaris panjang di panggung wayang bagi menonton filem berkenaan.

“Tayangan perdana Geng: Pengembaraan Bermula akan diadakan pada 14 Mei ini, diikuti tayangan di 600 panggung wayang di negara berkenaan. Kerja mengalih bahasa filem berkenaan kepada 11 dialek di India sudah dilakukan sejak tahun lalu dan sudah siap sepenuhnya.

“Jika Upin dan Ipin dapat diterima masyarakat di sana, kami akan meneruskan perancangan menembusi pasaran Amerika Latin dengan proses alih bahasa kepada bahasa Sepanyol sedang dilakukan ketika ini di ibu pejabat kami di Shah Alam,” katanya ketika menghadiri Program Ikon Inspirasi: Upin dan Ipin, di sini, semalam.

Program berkenaan diadakan sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) yang berlangsung ketika ini di Padang Tempat Letak Kereta, Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, Sarawak sehingga 24 April hadapan.

Turut serta dalam program berkenaan adalah pemegang watak opah dalam filem itu iaitu Ainon Ariff yang juga isteri kepada Burhanuddin selain memegang jawatan Pengarah Kreatif di Les' Copaque.
Burhanuddin berkata, pihaknya berharap Upin dan Ipin dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda di negara ini kerana terdapat banyak nilai positif diterapkan di dalam filem dan animasi bersiri watak berkenaan.



“Ketika ini kami sedang menyiapkan 42 episod animasi bersiri Upin dan Ipin sebelum memulakan projek sambungan filem animasi Geng yang dijangka menemui penonton di Malaysia, Singapura dan Indonesia menjelang 2012,” katanya.

"Kali ini kami akan menampilkan Upin dan Ipin sebagai watak utama filem animasi berkenaan selepas mereka hanya memainkan peranan pembantu dalam filem terdahulu selepas melihat popularitinya yang sangat besar," katanya.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...