(Sumber dari Berita Harian, 2010/04/02)
Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my
Cara penetapan langkah luar biasa, permulaan baik laksana model ekonomi
KUALA LUMPUR: Cara penetapan Model Ekonomi Baru yang mengambil kira maklum balas pelbagai pihak, khususnya rakyat adalah langkah luar biasa dan satu permulaan yang amat baik kepada Malaysia, kata Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (Amcham Malaysia), Fui K Soong.
“Laporan MEB yang dicetak dan disiarkan bagi mendapat maklum balas awam adalah revolusi bagi Malaysia. Kami tidak pernah menyaksikan dokumen sebegitu disiarkan kepada awam sebelum ini.
“Ini satu permulaan yang baik bagi Malaysia. Semua pihak kini menunggu peringkat kedua MEB iaitu pelaksanaan pelan tindakan, sama ada kerajaan memiliki keupayaan politik untuk melaksanakan model berkenaan,” katanya.
Fui juga menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya tiada benda baru dalam laporan MEB yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada Selasa lalu.
“MEB mengandungi cadangan bagi menangani isu dibincangkan peserta industri dan pelbagai komuniti di negara ini sejak bertahun-tahun lalu dan menyediakan hala tuju baru bagi Malaysia,” katanya.
Amcham Malaysia adalah pertubuhan perniagaan antarabangsa yang memiliki 800 ahli yang mewakili lebih 350 syarikat Amerika Syarikat (AS) dan syarikat antarabangsa lain.
Fui berkata, kini terpulang kepada rakyat Malaysia menentukan sama ada mereka mahukan perubahan ke arah berpendapatan tinggi atau tidak.
“Jika pendapatan tinggi dimahukan, mereka perlu meningkatkan kepakaran dan menukar cara pemikiran kerana syarikat antarabangsa yang berhasrat melabur atau sudah beroperasi mahukan modal insan berkepakaran tinggi,” katanya.
Beliau berkata, pelabur antarabangsa mempunyai kebebasan untuk memiliki sama ada melabur di negara kos rendah atau di negara berpendapatan tinggi seperti Singapura.
“Berikutan itu, rakyat Malaysia harus mula membuat keputusan arah tuju, sama ada mahu meletakkan negara sebagai berpendapatan rendah atau berpendapatan tinggi. Pelaburan syarikat asing di negara berpendapatan tinggi harus dilengkapi dengan sumber modal insan pakar yang mencukupi,” katanya.
Label:
Malaysiaku
Jumaat, 2 April 2010
bharian: MEB ambil kira pandangan awam
Dicatat oleh Maria Eisya Khadija (e.m.a.s.) di Jumaat, April 02, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan