Jumaat, 2 April 2010

bharian: lonjak taraf hidup

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/31)

Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my

"Saya beri jaminan MEB menjanjikan manfaat kepada semua kaum tanpa mengetepikan kepentingan Bumiputera menerusi matlamat dan pendekatan pertumbuhan yang menyeluruh” - Najib Razak, Perdana Menteri

Lapan inisiatif diperkenal: PM

KUALA LUMPUR: Model Ekonomi Baru (MEB) yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak semalam, menggariskan lapan inisiatif pembaharuan strategik bagi merealisasikan program transformasi ekonomi Malaysia ke arah melonjakkan kualiti hidup rakyat semua kaum.



Lapan inisiatif itu ialah:
1. Menyuburkan kembali sektor swasta untuk menerajui pertumbuhan ekonomi;
2. Membangun tenaga kerja yang berkualiti dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing;
3. Mewujudkan ekonomi domestik yang berdaya saing;
4. Memperkukuhkan sektor awam;
5. Melaksanakan tindakan afirmatif yang telus dan mesra pasaran;
6. Membina infrastruktur yang berasaskan pengetahuan;
7. Meningkatkan sumber pertumbuhan, dan
8. Memastikan pertumbuhan yang mapan.

Mengumumkan laporan MEB pada Persidangan Invest Malaysia 2010 di sini, Perdana Menteri menjelaskan lapan inisiatif itu saling melengkapi dan kesannya merentasi semua sektor untuk menjadikan Malaysia ekonomi berpendapatan tinggi, mampan dan terangkum.

Najib berkata, berdasarkan laporan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), 80 peratus daripada tenaga kerja negara hanya berpendidikan setakat kelayakan SPM yang tidak sejajar dengan ekonomi berpendapatan tinggi yang dihasratkan kerajaan.

“Saya bukan saja mahu rakyat mendapat pendapatan lebih baik, mereka juga perlu turut menikmati kehidupan lebih baik.

“Kita mahu melihat Malaysia melakukan lonjakan kuantum daripada pendapatan tahunan per kapita sebanyak AS$7,000 (RM22,931) kepada AS$15,000 (RM49,137) dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, memberi jaminan MEB menjanjikan manfaat kepada semua kaum tanpa mengetepikan kepentingan Bumiputera menerusi matlamat dan pendekatan pertumbuhan yang menyeluruh.

Beliau bagaimanapun berkata, di bawah MEB kerajaan tidak boleh lagi bertolak ansur dengan amalan yang menyokong aktiviti ‘rent-seeking’ dan ‘patronage’ yang sudah sekian lama menjejaskan matlamat murni Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Penyertaan menyeluruh diperlukan yang mana semua rakyat Malaysia dapat menyumbang dan mengambil manfaat daripada pertumbuhan ekonomi – perlu menjadi teras utama bagi sebarang pendekatan ekonomi baru.

“Objektif asalnya masih lagi relevan, namun sudah tiba masanya kita menilai kembali pelaksanaan DEB. Kita akan menyasarkan pencapaian matlamat sama, tetapi dengan mengubah cara kita melaksanakannya.

“Oleh itu, dasar afirmatif yang diperbaharui akan dilaksanakan berdasarkan empat prinsip, ia perlu mesra pasaran, berdasarkan merit, telus dan berasaskan keperluan,” katanya.

Sebagai contoh, kata Perdana Menteri, antara pertimbangan penting adalah mewujudkan proses tender yang kompetitif dan telus dengan peraturan yang tetap dan jelas bagi seluruh komuniti Bumiputera terdiri daripada Melayu dan pribumi lain.

“Ini adalah pemantapan dasar kita bagi menghadapi keadaan ekonomi baru, di mana keterangkuman menjadi komponen penting di dalam MEB. Secara praktiknya, pendekatan ini bermakna sokongan kepada Bumiputera dipertingkatkan, yang mana ia berdasarkan kepada keperluan dan bukannya bangsa.

“Golongan Bumiputera masih menjadi majoriti dalam kumpulan yang mudah terjejas, walaupun dalam pelbagai pendekatan, sementara pendekatan baru kita akan membantu mereka yang terdiri daripada kumpulan berpendapatan rendah.

“Pendekatan ini sebahagian besarnya masih lagi akan memanfaatkan komuniti Bumiputera dan pada masa yang sama, memberi manfaat kepada komuniti lain yang kurang bernasib baik,” jelasnya.

Untuk menilai pencapaiannya pula, Perdana Menteri berkata, pengagihan adil hendaklah merangkumi keseluruhan spektrum pengukuran kekayaan seperti pemilikan ekuiti, aset kewangan dan bukan kewangan lain serta akses kepada peluang menjana kekayaan seperti konsesi jangka panjang dan kontrak.

Malah, dari segi pengukuran pemilikan, ia perlu melangkaui aspek ekuiti termasuk harta benda lain, aset perniagaan seperti peruncitan, harta tanah, bangunan komersial, harta intelek dan perkhidmatan lain serta perjawatan dalam pengurusan.

Najib berkata, beliau sudah mengarahkan MPEN untuk menyediakan rangka kerja yang terperinci untuk melaksanakan model pemantapan baru berdasarkan mekanisme yang telus dan berasaskan pasaran untuk mencapai pengagihan yang saksama, manfaat daripada ekonomi berpendapatan tinggi.

Perdana Menteri berkata, MPEN juga mencadangkan supaya fokus diberikan terhadap kumpulan 40 peratus strata pendapatan terendah di Malaysia dari segi individu dan wilayah.

“Matlamat akhirnya, tiada rakyat Malaysia yang hidup dalam kemiskinan, semuanya mendapat peluang saksama untuk berjaya dan berkongsi kemakmuran negara,” katanya.

Bagaimanapun, laporan MEB yang diserahkan Pengerusi MPEN, Tan Sri Amirsham A Aziz kepada Perdana Menteri itu, bukanlah laporan muktamad.

Ia dibentangkan untuk mendapatkan maklum balas rakyat dan pemegang kepentingan sebelum disepadukan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 dan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...