Jumaat, 30 Julai 2010

Takwa Membuahkan Insan Berjaya dan Cemerlang

"Takwa merupakan pakaian kebesaran dan hiasan akhlak Muslim sebenar. Ianya ibarat pokok zaitun, minyaknya membawa berkat, ianya juga memberi kejayaan dan kemenangan."

-Imam Syafie-

Takwa adalah lambang Muslim sejati yang benar-benar beriman kepada Allah. Di dalam Al Quran dan hadis, sifat takwa kerap dikaitkan sebagai antara sifat mukmin yang berjaya dan berbahagia pada akhirat kelak.

Nabi Muhammad pernah berkata dalam hadis yang dinyatakan oleh Tirmizi, "Bertakwalah kamu di mana saja berada, iringilah setiap perbuatan dosa dengan amalan kebaikan yang akan memadamkan dosa itu dan pergaulilah manusia dengan akhlak terpuji."

Berdasarkan nas itu dapat disimpulkan, takwa adalah sifat yang mendasari mukmin yang tunduk dan patuh kepada Allah. Ia tidak dapat dipisahkan daripada setiap detik kehidupan mukmin. Malah takwa adalah lambang ketebalan iman dan simbul keteguhan Islam yang terpahat dalam hati Muslim.

Walaupun begitu, ada umat Islam yang belum memahami pengertian sebenar takwa dan kepentingannya dalam kehidupan ummah. Nabi Muhammad mendefinasikan takwa dalam hadis yang dinyatakan oleh at-Tabrani, "Sesiapa yang menyebut kalimah tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dengan ikhlas, nescaya dia dapat masuk syurga. Kemudian baginda ditanya, 'Apa maksud ikhlas itu?'. Lantas baginda menjawab, 'Iaitu kamu memelihara diri kamu daripada melakukan larangan Allah.'"

Ringkasnya, takwa mengikut pengertian Quran dan hadis adalah menunaikan segala amalan yang difardukan Allah dan meninggalkan segala yang diharamkannya. Inilah pengertian umum bagi takwa yang sekurang-kurangnya perlu diketahui dan dihayati oleh umat Islam supaya dapat dilaksana dan diterjemahkan dalam kehidupan.

Ibnu Abbas pernah menyatakan, "Orang bertakwa itu ialah mereka yangs sentiasa beringat akan seksaan Allah apabila meninggalkan segala perintahnya. Oleh itu, mereka tidak akan meninggalkannya dan sebaliknya melaksanakan perintah NYA dengan penuh kepatuhan dan ketulusan serta sentiasa mengharapkan rahmat NYA dan keredhaan NYA dalam semua urusan yang diperintahkannya."

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...