Jumaat, 30 Julai 2010

bharian: Pengeksport Bumiputera dibangun

Oleh Zainab Mohd Yatim
zmy@bharian.com.my
2010/06/14

MITI sasar lahir 20 usahawan setiap tahun menerusi program ‘GroomBig’

BAHAGIAN Pembangunan Usahawan, di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyasarkan membangunkan 20 pengeksport Bumiputera setiap tahun menerusi program ‘GroomBig’.

Pengarah Kanannya, Datuk Abdul Ghafar Musa, berkata pihaknya sedang membimbing 1,040 usahawan mikro menerusi pelbagai pro-gram merangkumi seluruh rantaian nilai keusahawanan.
“GroomBig atau Program Peningkatan Kualiti Produk dan Perkhidmatan adalah kesinambungan daripada program yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum diambil alih oleh MITI pada 2008.

“Akhir tahun lalu, program itu diberi nafas baru dengan lebih banyak program peringkat lebih tinggi diatur untuk membantu usahawan yang dikenal pasti memasuki pasaran eksport.

“Sebahagian barangan dihasilkan sudah memasuki pasaran luar negara menerusi kerjasama yang kami jalin dengan kira-kira 10 syarikat perdagangan dan pemasaran seluruh dunia,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Abdul Ghafar berkata, rakan syarikat perdagangan MITI antaranya berada di Filipina, Dubai, Ireland, Vietnam, Kemboja, dan Britain, justeru pasaran barangan usahawan yang dibimbing juga berpotensi memasuki negara berkenaan.
Selain bekerjasama dengan rakan perdagangan berkenaan, katanya MITI turut membuka peluang kepada usahawan untuk mendedahkan produk masing-masing dengan menyertai pameran anjuran agensi di bawah kementerian, yang tidak terhad di dalam negara, tetapi juga di luar negara.

Beliau menjelaskan, usahawan yang disasarkan adalah usahawan mikro atau kecil-kecilan yang sudah memulakan perniagaan.

“Kami tidak mengehadkan pilihan asalkan mereka terbabit mengeluarkan hasil produk atau menyalurkan perkhidmatan walaupun dari rumah, tanpa peralatan khusus,” kata Abdul Ghafar.

Beliau menambah, usahawan yang dipilih di bawah program itu akan diberi pendedahan dari segi kemudahan khidmat nasihat; kursus dan khidmat rundingan perniagaan dalam pelbagai bidang peningkatan kualiti produk dan perkhidmatan, pembungkusan, pelabelan, penjenamaan dan pensijilan.

Usahawan juga akan turut diberi panduan mengenai premis perniagaan atau kilang, selain bantuan kepakaran seperti pengurusan kewangan, pemasaran, promosi dan peningkatan kualiti, selain dibuka laluan untuk padanan perniagaan.

Dari segi sektor pula, katanya ketika ini kira-kira 90 peratus usahawan yang sedang dibimbing, terbabit dalam bidang pengeluaran makanan, justeru ia akan diperluaskan ke bidang lain yang juga mempunyai potensi besar untuk dikembangkan.

Terdapat 15 sektor pembuatan dan perkhidmatan yang diberi tumpuan dalam program itu, termasuk petrokimia; elektrik dan elektronik; perabot; pemprosesan minyak sawit; tekstil dan pakaian; herba dan perubatan tradisional; komponen automotif; perkhidmatan kesihatan; logistik; pelancongan; industri halal; teknologi maklumat (IT); dan peruncitan.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...