Jumaat, 30 Julai 2010

bharian: G15 disaran usaha bina ekonomi kukuh

2010/05/20
Oleh Zainab Mohd Yatim
zmy@bharian.com.my
Keperluan terbaik kepada rakyat mesti disediakan selari perubahan global

KUMPULAN 15 (G15) yang dianggotai 17 negara sedang membangun, perlu berusaha menyediakan persekitaran dan keperluan terbaik kepada rakyat masing-masing selari dengan perubahan global.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata jalinan hubungan tradisional dan institusi yang diwarisi sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua tidak lagi memadai dalam menguruskan tekanan dan perubahan global masa kini.

Selain itu, katanya, tindakan setiap negara dalam diplomasi antarabangsa juga memerlukan pendekatan baru dan dilaksanakan dalam pelbagai hala serta menerusi dimensi yang pelbagai.

“Perubahan global muncul dalam pelbagai bentuk termasuk kemajuan teknologi, perubahan cuaca, ancaman kesihatan dan fenomena global, yang mempunyai unsur berbeza sama ada membina atau menghancurkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang Kemuncak G15 di Tehran, yang turut dihadiri Presiden Iran yang juga Pengerusi Sidang Kemuncak G15 Ke-14, Mahmoud Ahmadinejad.

Ahmad Husni berkata, G15 boleh memainkan peranan penting dalam menyuarakan keperluan negara Selatan-Selatan berhubung isu utama global, namun ‘suara’ berkenaan hanya akan didengari jika kumpulan itu mempunyai ekonomi kuat.

Sehubungan itu, beliau turut mencadangkan Menteri-Menteri Ekonomi dan Perdagangan dijemput pada sidang kemuncak akan datang yang dijadualkan pada 2012.

G15 kini dianggotai Algeria, Argentina, Brazil, Chile, Mesir, Indonesia, India, Iran, Jamaica, Kenya, Malaysia, Mexico, Nigeria, Senegal, Sri Lanka, Venezuela dan Zimbabwe.

Dalam ucapannya, Ahmad Husni turut menyarankan keperluan usaha sama dalam membina kapasiti mengukuhkan infrastruktur awam dan institusi kerajaan di negara membangun, terutama menerusi perkongsian pengalaman.

Beliau juga berkongsi pengalaman dengan pemimpin G15 yang menghadiri Sidang Kemuncak itu mengenai usaha Malaysia menghadapi perubahan semasa global menerusi pengenalan Model Ekonomi Baru (MEB).

“Malaysia mengambil langkah ke depan menghadapi perubahan pantas yang berlaku, dengan menyasarkan mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Dalam tempoh satu dekat akan datang, kami menyasarkan untuk menjadi negara maju menerusi inovasi dan kreativiti, dengan memberi penekanan terhadap penghasilan produk dan perkhidmatan tambah nilai,” katanya.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...