Jumaat, 30 Julai 2010

bharian: Krisis ekonomi global tidak jejaskan pasaran francais

2010/07/30
PASARAN francais Malaysia secara relatifnya tidak terjejas oleh kemelesetan ekonomi global apabila ia masih mampu mengekalkan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 15 peratus.

“Seperti yang kita dapat lihat, perniagaan francais kukuh dan masih menyaksikan pertumbuhan di sebalik kemelesetan ekonomi.

“Ini membuktikan industri ini amat sesuai dan adalah modul yang sesuai terutama bagi usahawan baru yang ingin menceburi bidang perniagaan,” kata Naib Pengerusi Persatuan Francais Malaysia, Abd Malik Abdullah pada sidang akhbar selepas Previu Media Franchise International Malaysia 2010, di Kuala Lumpur, semalam.
“Banyak syarikat besar, termasuk bank terkemuka yang muflis ketika kemelesetan ini, tetapi tidak bagi mereka yang berada dalam industri francais.

“Industri ini juga kurang berisiko kerana kebanyakan francaisor mempunyai sistem bagaimana untuk mengendalikan rangkaian mereka dan francaisor berjaya dan terkenal bukan saja di dalam negara, tetapi juga pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Ada 449 francaisor berdaftar di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang mana 26 perniagaan francais tempatan berjaya melebarkan sayap mereka ke 49 negara.

“Mereka seperti MarryBrown, D’ Tandoor dan Secret Recipe dan lebih ramai lagi dijangka akan menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.
Abd Malik adalah Pengasas dan Pengarah Urusan DTFI Sdn Bhd, pengendali D’ Tandoor Food Industries.


Ketika ini ada 11 restoran D’ Tandoor dengan tujuh dimiliki oleh francaisi di Australia dan New Zealand. – BERNAMA

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...