Berita Harian Online|Usah cuit perasaan Melayu
Oleh Wan Jailani Razak
wanjai@bharian.com.my
2011/12/06
NAJIB bersalaman dengan ahli PEKIDA ketika hadir merasmikan Perhimpunan Perdana Pekida Malaysia di Shah Alam, semalam.
Perkara asas dalam perlembagaan tak perlu dirungkai, pertikai: PM
SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Razak menegaskan perkara asas yang sudah termaktub dalam Perlembagaan ketika membina negara tidak perlu dirungkai, dipertikai atau dirundingkan semula. Perdana Menteri percaya dalam kerangka Perlembagaan sama ada yang tersurat dan tersirat, kerajaan boleh membina sebuah negara yang adil dan saksama untuk semua kaum.
Sambil membidas pakatan pembangkang kerana belum lagi berkuasa sudah mempersoalkan dasar untuk membantu orang Melayu dan Bumiputera, Najib ketika berucap pada majlis Sepetang Bersama PM sempena Perhimpunan Perdana Persatuan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA), semalam, berkata: “Orang Melayu tidak pernah bersikap pelampau di bumi ini. Orang Melayu tidak pernah menjadi bangsa yang rasis. Orang Melayu sejak merdeka sanggup berkongsi kuasa dan memberi apa yang adil kepada mereka.
“Kita mengamalkan wasatiyyah sebagai pendekatan kita sejak dulu. Kita menolak kefahaman keterlaluan, kefahaman ekstrem tidak menjadi dasar pegangan. Orang Melayu menghulur tangan kepada orang bukan Melayu untuk membina negara yang aman, bersatu dan lebih makmur.
“Jangan sesekali mereka mencuit perasaan orang Melayu dengan nak ubah apa termaktub dalam perlembagaan kita. Apa yang kita rundingkan waktu merdeka dulu, perkara ini akan dipertahankan, PEKIDA akan pertahankan,” katanya.
Pada majlis yang dihadiri lebih 10,000 ahli PEKIDA, Najib menjelaskan tentu sekali bagi orang Melayu yang menjadi majoriti dalam negara yang pernah menjadi mangsa ketika zaman penjajah, memerlukan sedikit masa untuk membetulkan segala kepincangan.
Beliau bertanya apakah padang sama rata kalau anak yang lahir dan membesar di kawasan pedalaman seperti ulu Tembeling, Ulu Kinta, Pangkor, Yan, Kodiang dan Baling sama gelanggangnya seperti mereka yang membesar di Pantai Hill, Damansara dan Lembah Klang.
“Tentu sekali ini bukan gelanggang sama rata. Jadi, sudah tentu keberhasilan berbeza dan pencapaian tidak sama. Bagi persekitaran yang serba lengkap, sudah tentu mereka akan mencapai kejayaan jauh lebih tinggi daripada mereka yang tinggal di pedalaman,” katanya.
Perdana Menteri seterusnya mengajak ahli PEKIDA bertanya pada diri mereka apa akan terjadi kepada orang Melayu dan umat Islam jika pemerintahan dalam negara tersungkur dan rebah atau sudah kehilangan taring dan kekuatan.
Katanya, apa akan terjadi kepada raja-raja Melayu dan anak cucu mereka kalau kerajaan tidak ada lagi untuk memuliakan dan tidak dapat menyokong dasar yang boleh mendokong nasib mereka.
“Sebab itu perjuangan kita mulia dan suci kerana kita pada asasnya berjuang mempertahankan kelangsungan kuasa yang ada pada tangan kita. Jika kuasa terlepas, Nauzubillah, cita-cita kita akan terkubur.
“Masa depan kita akan bertukar menjadi masa depan yang penuh gerhana kerana asas kita menjadi bangsa mulia dan bermaruah dan menjanjikan masa depan lebih cerah kerana pemerintahan hari ini.
“Pemerintahan bererti kita ada kuasa. Kalau hendak melakukan sesuatu tentu sekali sesuatu itu mungkin menjadi kenyataan kalau kita ada kuasa,” katanya sambil menambah dalam pemerintahan negara yang tidak mengamalkan sistem demokrasi, kuasa itu mungkin terbit dari laras senapang dan berdiri di atas rejim kuku besi.
Katanya, negara seperti Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi secara terbuka, kuasa politik tetap datang dari rakyat dan selagi kerajaan berjuang untuk rakyat dan kerana rakyat, insya-Allah rakyat akan tetap mempertahankan kedudukan sekarang.
Bagaimanapun, katanya, dalam sistem demokrasi yang membenarkan pelbagai pihak berjalan ‘ke hulu ke hilir’ membawa pelbagai cerita yang kadang-kala nista dan fitnah, ia boleh menyebabkan rakyat terkeliru atau sangsi sehingga dapat memesong sokongan rakyat dan akhirnya berlaku apa yang tidak diingini.
Justeru, katanya, rakyat tidak ada pilihan melainkan menegakkan pemerintahan sedia ada.
Label: Malaysiaku
0 ulasan:
Catat Ulasan