Berita Harian Online|Tasamuh elak perpecahan ummah
Oleh Nik Roskiman Abdul Samad
bhagama@bharian.com.my
2011/12/05
Perpaduan perlu jadi agenda utama satukan umat Islam
SEJAK wafatnya Baginda SAW, bermula zaman Saidina Uthman dan Saidina Ali, bibit perpecahan umat Islam mula kelihatan walaupun masih pada peringkat awal dan boleh dibendung. Kurun selepas itu menyaksikan perpecahan ummah kian parah hinggalah ke hari ini.
Dunia Arab hari ini tiada satu pun dalam keadaan aman dan cuba bandingkan dengan umat lain. Bangsa Eropah misalnya, adakah kedengaran peperangan di kalangan mereka?
Mereka hidup sepakat dan bekerjasama dalam pelbagai aspek termasuk kewangan, bersetuju menggunakan mata wang Euro untuk 17 negara berbeza bangsa, budaya dan agama.
Mereka boleh bekerjasama dalam bidang ekonomi serta politik dan menubuhkan Kesatuan Eropah (EU) yang dianggotai 27 negara. Mereka bekerjasama dalam bidang ketenteraan dan menubuhkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), yang seolah-olah lebih berkuasa daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana mendahului badan terbabit dalam keputusan ketenteraan.
Mungkin ada yang berkata umat Islam juga bersatu dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang dianggotai 57 negara. Tetapi lihatlah sendiri apa yang boleh dibanggakan dengan OIC dan apakah sumbangan besar OIC terhadap negara Islam bertelagah hari ini?
Kenapa umat Islam gagal bersatu? Banyak penyebab antaranya:
- Kita sentiasa berprasangka buruk terhadap orang lain. Pelawaan bekerjasama dan bersatu sering kedengaran, namun sering juga dilihat sinis.
Ajakan itu disyaki ada agenda tersembunyi atau kononnya tidak ikhlas. Prasangka timbul kerana peristiwa silam berikutan kita pernah dianiayai atau ditipu dalam kerjasama dijalin sebelum ini.
Lalu pihak dianiaya lebih berhati-hati sejajar dengan pesanan Baginda SAW bermaksud: “Orang mukmin tidak dipatuk dari lubang sama dua kali.”
Berhati-hati itu wajar, tetapi prasangka perlu dikikis supaya kita boleh bersatu. Ia mungkin sukar kerana istilah tikam dari belakang begitu popular dalam masyarakat dan kerana itu apa juga usaha menyatupadukan umat Islam di negara ini menemui jalan buntu.
Di Barat berbeza. Masyarakat mereka melihat menikam dari belakang tindakan tidak beretika dan tidak bertamadun selain pengkhianatan, kerana itu ia jarang berlaku dalam masyarakat mereka.
Mereka juga mengambil tindakan pencegahan apabila setiap persefahaman dan kerjasama diikat dengan perjanjian terperinci dan dipersetujui bersama lalu ditandatangani. Masyarakat kita pula lebih mempercayai perjanjian lisan tanpa perlukan perjanjian bertulis. Inilah silapnya kita.
- Umat Islam di negara ini kurang berlapang dada (tasamuh) sesama mereka tetapi lebih mudah bertolak ansur dengan orang lain. Mereka mempertahankan prinsip tanpa boleh digugat saudaranya, tetapi dengan bangsa lain mereka bertolak ansur dengan mudah.
Demi perpaduan, ada ketikanya prinsip kita pegang terpaksa dikorbankan, begitu juga prinsip pihak satu lagi juga mungkin perlu dikorbankan untuk mencari titik persefahaman. Jika kedua-dua pihak tetap berkeras, maka sampai bila tiada jalan untuk berpadu.
Masing-masing perlu ada tolak ansur. Lazimnya, dalam meja rundingan, tiada pihak dapat sepenuhnya. Masing-masing perlu melepaskan sebahagian tuntutannya, maka barulah wujud persefahaman.
Walaupun kita rugi kerana terpaksa melepaskan perjuangan, namun kita mendapat lebih besar daripada itu, iaitu perpaduan. Insya Allah, apa yang kita korbankan memberi hasil lebih baik.
Malah kaedah dalam usul fiqh ada menyebut, jika tidak dapat diperoleh semuanya, jangan dibuang semuanya. Di sinilah pentingnya pemimpin umat Islam bersifat tasamuh atau berlapang dada dalam perkara tidak dipersetujui.
Hassan al-Banna ada menyebut, kita bekerjasama dalam perkara disepakati dan bertolak ansur dalam perkara berbeza pendapat.
Pemimpin sama ada di kalangan umara mahupun ulama di pihak bertelagah perlu melihat kepentingan Islam dan perpaduan ummah mengatasi kepentingan peribadi atau kuasa politik.
Meletakkan perpaduan ummah sebagai matlamat utama perjuangan sewajarnya menjadi agenda umat Islam negara ini sebelum terjerumus dalam kancah perpecahan lebih parah seperti dialami dunia Arab yang sukar bersatu lantaran persengketaan terlalu lama.
Penulis ialah Pengarah Radio Institut Kefahaman Islam
Malaysia (IKIMfm)
0 ulasan:
Catat Ulasan