Berita Harian Online|JPA utama orang dalam
2011/12/08
SBPA tidak anak tiri kakitangan cemerlang, berpengalaman sedia ada isi jawatan tertinggi
PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi jaminan penjawat awam yang berpengalaman dan cemerlang diberi keutamaan bagi mengisi jawatan tertinggi dalam sektor awam walaupun dasar Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dilaksanakan 1 Januari depan akan membuka ruang kepada ‘orang luar’ menduduki sesuatu jawatan.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, berkata pengambilan orang luar hanya dilakukan apabila keadaan sangat diperlukan tetapi masih tertakluk kepada penilaian dan saringan ketat.
“Ini adalah sebagai persediaan. Apabila menyusun skim perkhidmatan, kita bukan hanya mahu mengatasi masalah sedia ada, malah melihat keperluan masa depan untuk generasi akan datang.
“Kita akan buat penilaian dari Jusa C, Jusa B dan seterusnya sehingga ke kumpulan Premier. Jika tiada yang benar-benar layak, barulah kita mencari bakat luar tetapi keutamaan tetap diberikan kepada penjawat awam yang berpengalaman dan cemerlang,” katanya pada sidang media, di sini semalam.
Justeru, katanya, dakwaan menyatakan sistem baru itu bertujuan membuang penjawat awam yang tidak menunjukkan prestasi baik menerusi dasar pemisah atau exit policy adalah tidak benar.
Beliau berkata JPA juga memberi jaminan tidak akan berlaku penganiayaan kepada sesiapa menerusi pelaksanaan skim baru itu.
Baru-baru ini, CUEPACS dilaporkan membantah cadangan membawa orang luar mengisi jawatan tertinggi sektor awam yang disifatkannya umpama menganaktirikan penjawat awam yang sudah lama berkhidmat dan mempunyai pengalaman serta kepakaran tertentu.
Pada masa sama, pembangkang mengambil kesempatan menggesa kerajaan membatalkan dasar membawa masuk orang luar kerana bimbang berlaku pelantikan politik, selain boleh menyebabkan institusi perkhidmatan kerajaan bercelaru.
Abu Bakar juga menafikan skim baru itu akan mengurangkan tenaga kerja sektor awam, sebaliknya memastikan jumlah kakitangan kerajaan mengikut keperluan.
“Sejumlah 29,000 jawatan dimansuhkan di bawah SBPA berdasarkan enam strategi inisiatif perkhidmatan awam iaitu kawalan saiz, kajian pertindihan fungsi, penjajaran fungsi utama, perkhidmatan boleh diserah urus, perekayasan proses kerja dan kajian semakan skim perkhidmatan,” katanya.
Label: Perkhidmatan Awam
0 ulasan:
Catat Ulasan