Selasa, 6 Disember 2011

NUTP sifatkan syor 'elaun kesusahan' tak wajar

Berita Harian Online|NUTP sifatkan syor 'elaun kesusahan' tak wajar

2011/12/05

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyifatkan cadangan pemberian ‘elaun kesusahan’ kepada guru yang bekerja di kawasan pedalaman sebagai tidak wajar kerana mereka sudah pun dibayar elaun khas ketika ini.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata ketika ini Guru Pedalaman Satu menerima elaun khas RM500 sebulan, Guru Pedalaman Dua mendapat RM1,000, manakala Guru Pedalaman Tiga dibayar RM1,500, sekali gus menunjukkan kerajaan prihatin terhadap mereka yang bertugas di kawasan luar bandar.

“Cadangan ini bukanlah baru dan hanya akan meningkatkan beban kewangan sekiranya ia dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan UMNO Negeri Sembilan ketika membahaskan usul agama, pendidikan dan sosial pada Perhimpunan Agung UMNO di sini, kelmarin, supaya kerajaan memberi ‘elaun kesusahan’ kepada guru bertugas di kawasan pedalaman.

Wakilnya, Mustapha Naoor, berkata kemudahan pendidikan di pedalaman amat daif sehingga guru terpaksa menempuh perjalanan jauh dengan menaiki bot dan kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke sekolah.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, kerajaan sepatutnya memberi elaun kos sara hidup (Cola) kepada guru mengikut tempat tinggal dan bukannya berdasarkan kepada lokasi mereka ditugaskan.

“Contohnya, ada guru mengajar di Gopeng tetapi menetap di Ipoh, maka mereka tidak layak mendapat Cola RM200, sebaliknya hanya memperoleh RM100 kerana Gopeng dianggap sebagai kawasan pedalaman. Ia akan menjadi beban kepada guru di kawasan luar bandar,” katanya.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi, turut berpendapat elaun kesusahan bagi guru tidak perlu kerana kerajaan sudah pun mewujudkan elaun khas pedalaman untuk mereka.

“Ketika ini elaun pedalaman adalah antara RM500 hingga RM1,500 dan dibayar mengikut kategori kawasan pedalaman, iaitu Pedalaman P1, P2 dan P3.

“Kementerian tidak bercadang untuk menaikkan lagi jumlah elaun pedalaman itu seperti mana yang diminta oleh sesetengah pihak kerana nilai yang diberikan itu masih lagi relevan,” katanya selepas merasmikan Penutupan Konvensyen Mahasiswa Pendidikan Kebangsaan 2011 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, semalam.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...