Selasa, 6 Disember 2011

MB Terengganu bentang bajet RM1.95 bilion [Bajet Negeri Terengganu 2012 - Peruntukan RM1.95 bilion]

Berita Harian Online|MB Terengganu bentang bajet RM1.95 bilion

2011/12/05

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM1.95 bilion untuk Bajet 2012, pertambahan 3.29 peratus atau RM62.1 juta daripada peruntukan tahun ini.

Bajet dengan tema 'Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan : Bajet Kesejahteraan Rakyat' itu dibentang oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Ahmad berkata, kerajaan persekutuan menyediakan peruntukan yang cukup besar dengan menumpukan projek pembangunan berimpak tinggi yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, antara projek yang bakal memberi impak kepada negeri Terengganu ialah projek Lebuh Raya Pantai Timur Jabor-Kuala Terengganu.

Ahmad berkata, bajet itu memberi penekanan kepada tiga strategi utama iaitu untuk memantapkan pembangunan modal insan berkualiti, memelihara kesejahteraan rakyat dan untuk meningkatkan daya saing negeri.

Katanya, adalah tepat apabila kerajaan negeri meletakkan keutamaan tertinggi kepada sektor pendidikan dan pembangunan modal insan dalam rancangan pembangunannya.

Ahmad berkata, bagi kesejahteraan rakyat, Bajet tahun depan memberi tumpuan utama iaitu menjamin dan memelihara kesejahteraan hidup rakyat dengan menyediakan keperluan asas seperti air, tenaga, perumahan, pengangkutan dan kemudahan lain.

Beliau berkata, matlamat kerajaan ialah untuk mensifarkan miskin tegar dan menurunkan kadar kemiskinan kepada satu peratus pada tahun 2013.

"Oleh itu kerajaan negeri menggandakan usaha dengan pendekatan yang lebih agresif bagi mengatasi masalah kemiskinan melalui dua strategi iaitu melaksanakan pembangunan fizikal dan perubahan minda serta sahsiah diri kepada golongan terbabit," katanya.

Ahmad berkata, kerajaan akan meneruskan program bantuan rumah, program peningkatan pendapatan, program latihan kemahiran dan kerjaya dan program jaya diri.

Beliau turut mengumumkan kerajaan negeri bersetuju menyediakan satu dana pinjaman perumahan rakyat negeri Terengganu dengan peruntukan permulaan sebanyak RM50 juta dengan jumlah maksimum pinjaman RM50,000 seorang yang berteraskan syariah.

Persidangan dewan disambung esok. - BERNAMA

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...