Berita Harian Online|Pengamal PR Islam perlu gabung sumber untuk bentuk semula persepsi Islam: Tun Abdullah
2011/12/06
KUALA LUMPUR: Pengamal perhubungan awam Islam perlu menggabungkan sumber dan kepakaran masing-masing dalam membentuk semula persepsi dan penjenamaan semula Islam, kata Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Bekas perdana menteri itu berkata, sudah tiba masa untuk orang Islam mempamerkan potensi Ummah yang moden yang dapat menyumbang kepada ketamadunan manusia.
"Kita boleh menunjuk legasi Islam kepada kemajuan manusia bukan sekadar terbeku dalam era keemasan beberapa kurun lampau tetapi sumbangan yang berterusan," katanya pada majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Perhubungan Awam Islam Global yang julung kali diadakan di sini, malam tadi.
Majlis penganugerahan itu diadakan sempena Kongres Global Bagi Pengamal Perhubungan Awam Islam selama empat hari anjuran Universiti Islam Antarabangsa Islam (UIAM) dan Institut Perhubungan Awam Karogzae (KPRI) yang berpusat di Tehran, Iran.
Kongres itu, yang disokong oleh Persekutuan Organisasi Perhubungan Awam ASEAN disertai oleh 26 penceramah dari 17 negara.
Abdullah berkata, dengan penggabungan sumber perhubungan awam Islam, sebuah kempen berkesan perlu digubal dan dilaksanakan serta ruang perlu dikenalpasti bagi membolehkan kempen itu sering dijalankan.
"Sering kali, media arus perdana antarabangsa tidak peduli dan menentang berita positif mengenai Islam walaupun organisasi seperti Al-Jazeera semakin membenarkan pandangan alternatif disiarkan," katanya.
Beliau berkata, telekomunikasi moden harus digunakan sebagai kaedah untuk menyebarkan berita positif mengenai Islam.
Abdullah juga turut menyaksikan perjanjian pertukaran kerjasama antara Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) dan Perhimpunan Hubungan Indonesia (Perhumas) bagi saling menghormati kod etika masing-masing di samping meningkat kerjasama.
IPRM diwakili oleh presidennya, Ibrahim Abdul Rahman dan dari Perhumas, Prita Kemal Gani. - BERNAMA
Label: Malaysiaku
0 ulasan:
Catat Ulasan