Sabtu, 3 April 2010

Seorang Nenek Tua di LRT

Hari ni cuaca masih panas terik dan berbahang di KL. Ikutkan hati, memang terlalu malas untuk aku keluar dari rumah. Tapi apakan daya, banyak perkara lagi perlu diselesaikan untuk menghadapi hari esok. Hari besarku... Hari yang pernah kutagih suatu ketika di tahun 2003. Akhirnya ia menjadi nyata pada tahun 2010! Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buatku...

Dalam perjalananku ke Masjid Jamek menggunakan LRT, aku lihat seorang nenek tua yang mengikatkan rambutnya yang keseluruhan putih dan tipis itu dengan penyepit rambut (entah sukar untuk aku jelaskan penyepit yang bagaimana). Dia duduk berhadapan denganku. Dia lantas memandangku tepat kepadaku dan tersenyum (senyuman yang tak bergigi). Entah payah untuk kunyatakan bahawa dia ini Melayukah? Cinakah? Yang pasti dia ini terlalu tua dan masih bersemangat. Di hadapan nenek ini terdapat selonggok barang yang diisi dalam beg plastik. Besar betul!! Hish gagah betul nenek ni mengangkat kesemua barang-barang ini. Bersama nenek ini juga terdapat sebuah beg tangan kain. Pakaiannya ala nenek-nenek dan bagiku ia adalah OK. Tapi... kemana destinasi nenek ini?



Akhirnya nenek ini berhenti di stesen Masjid Jamek, sekali denganku. Diangkatnya barangan tadi dengan perlahan-lahan. Badannya yang hampir bongkok 75 darjah itu, sesekali tidak seimbang. Sedih benar aku melihat, inginku hulurkan bantuan. Tapi sekiranya bantuanku menjadi sesuatu yang lain, alamak... aku terpaksa batalkan niatku. Mungkin semua orang layak mendapat keadaan masing-masing seperti sekarang ini. Ia memberi hikmah bukan saja kepada orang yang melihat, tetapi mungkin juga kepada si empunya diri. TETAPI???? Kenapa nenek ini perlu bersusah payah? Pada umur sebegini, nenek ini perlu hidup dengan lebih damai... Tapi senyuman nenek itu begitu ikhlas, begitu redha, begitu yakin untuk terus menapak. Apa-apa pun, apa sahaja agama nenek ini, aku doakan semoga Allah mempermudahkan segala urusannya, memberikan yang terbaik baginya dunia dan akhirat. Amien...

(sedikit rasa menyesal bersarang di hatiku)

Ku terfikir... Bagaimanakah sebenarnya keadaan hidup nenek ini? Kita sebagai manusia biasa, bukan hanya belajar dan melihat daripada orang-orang yang berjaya sahaja, tetapi kita juga harus melihat kesusahan yang dialami oleh orang lain. Supaya kita lebih beringat-ingat dengan setiap langkah yang kita ambil. Iya.... Hidup ini merupakan suatu pilihan. Sama ada kita mahu memilih sesuatu yang baik ataupun sesuatu yang buruk. Hakikatnya semua tindak-tanduk kita akan memberikan kesan kepada hidup kita. Dalam masa terdekat? Dalam jangkamasa panjang?

Hidup adalah suatu pilihan, kita yang memilih...
Semua yang buruk adalah datang dari diri kita sendiri (atas kekerdilan kita memilih sesuatu yang tidak tepat). Dan semua yang baik adalah dari Allah semata... Jangan salahkan Tuhan kalau kita tidak berjaya, tetapi salahkan diri kita sendiri. Walaupun kita masih tidak berjaya sekarang ini, mungkin esok lusa, setahun lagi, 7 tahun lagi, kebahagiaan itu akan tetapi menjelma.

Allah mahu mengujimu... Menginginkanmu berada dekat dengan-NYA. Berdoa dan meminta-minta dengan sepenuh hati dengan-NYA. Allah merindui suaramu... Hatimu yang ikhlas untuk kembali kepada-NYA. Sesungguhnya dari Allah jasad dan roh ini datang, kepada Allah jua saya kembalikan diri saya...

03.04.2010/12.25 a.m.



0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...