Selasa, 27 April 2010

bharian: Mampu jadi 20 negara paling kompetitif

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my

(Sumber Berita Harian, 2010/04/21)

MALAYSIA berpotensi menyertai senarai 20 negara paling kompetitif dunia dalam tempoh singkat menerusi pelbagai inisiatif baru yang diumum dan sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata ini termasuk pelancaran Model Ekonomi Baru (MEB), yang akan memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat dan mengubah negara menjadi ekonomi berpendapatan tinggi.



Katanya, ia sekali gus memastikan persekitaran pelaburan Malaysia kekal sesuai serta berdaya saing untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan domestik.

Beliau berkata, meskipun Malaysia kini berada dalam senarai ke-24 daripada 133 negara paling kompetitif dunia, tiada sebab mengapa negara tidak boleh menempatkan diri dalam kedudukan 20 negara teratas dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Menerusi pelancaran Program Transformasi Kerajaan dan MEB, negara boleh menjangkakan beberapa perubahan radikal ke arah memacu Malaysia berada di kalangan negara paling kompetitif di dunia.

“Malaysia boleh berada di antara 20 negara teratas dalam tempoh singkat, mungkin dua tahun lagi hasil pelaksanaan MEB yang akan meningkatkan produktiviti menerusi inovasi dan kreativiti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Badan Pentadbiran Pertubuhan Produktiviti Asia (APO) ke-52, di Kuala Lumpur, semalam.
APO dianggotai Bangladesh, China, Fiji, Hong Kong, India, Indonesia, Iran, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Mongolia, Nepal, Pakistan, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam.

Selain merapatkan jurang produktiviti, APO juga berperanan memantau dengan sistematik prestasi produktiviti negara anggota, selain membantu mencari penyelesaian merapatkan jurang produktiviti di kalangan 18 negara anggotanya.

Menerusi Laporan Kompetitif Global bagi 2009-2010, Malaysia kini berada di kedudukan ke-24, manakala negara di Asia yang berada di tempat lebih atas daripada Malaysia dalam laporan berkenaan adalah Singapura (ketiga, Jepun (kelapan) dan Taiwan (ke-12).



Terdahulu, dalam ucapannya, Mustapa berkata, untuk meningkatkan lagi kedudukan Malaysia, pertumbuhan masa depan negara perlu dihasilkan menerusi produktiviti yang lebih tinggi, dipupuk daripada proses lebih inovatif serta disokong pelaburan domestik dan kepakaran rakyatnya.

“Malaysia akan terus berusaha untuk meningkatkan pertumbuhan produktiviti menerusi pembangunan bakat rakyatnya, menerima pakai teknologi canggih, keupayaan inovasi lebih tinggi dan kemampuan serta kewujudan nilai lebih tinggi menerusi penyelidikan dan pembangunan intensif,” katanya.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...