Ahad, 18 April 2010

MEB usaha rapat jurang si kaya, berpendapatan rendah

(Sumber dari Berita Harian, 2010/04/17)

MODEL Ekonomi Baru (MEB) akan memahirkan dan melatih semula golongan 40 peratus pekerja berpendapatan rendah serta menjadikan mereka golongan kelas pertengahan yang baru.

Bekas Menteri Kabinet dan ahli Parlimen Johor Bharu, Datuk Seri Utama Shahrir Samad, berkata MEB ialah mengenai mewujudkan kekayaan sebenar dan mengurangkan jurang antara yang kaya dan berpendapatan rendah.



“Golongan 40 peratus berpendapatan rendah ini tidak mempunyai modal tetapi mempunyai sumber insan. Program kemahiran semula dan latihan semula akan meningkatkan golongan ini yang terdiri daripada orang Melayu dan Bumiputera, ke pekerjaan berpendapatan tinggi ketika negara melengkapkan dirinya ke arah ekonomi yang lebih tinggi nilainya,” kata Shahrir.

Golongan 40 peratus pekerja terbabit ialah mereka yang pada masa ini memperoleh pendapatan RM1,500 ke bawah sebulan dan MEB berhasrat untuk menggandakan pendapatan mereka dalam tempoh 10 tahun ini, sekali gus melonjakkan kumpulan itu kepada kelas pertengahan.

“Sebelum ini ialah kita melahirkan jutawan tetapi kerana asas yang tidak kukuh, dengan hanya satu krisis kewangan saja, mereka semua lenyap. Jika kita wujudkan kelas pertengahan, maka ia lebih stabil,” kata Shahrir.

Beliau berkata, NEM bertujuan mengukuhkan asas ekonomi Malaysia memandangkan krisis kewangan Asia telah memberi kita banyak pengajaran.

“Pertumbuhan dan kekayaan bukan menerusi pinjaman semata-mata. Ia memerlukan modal. Jadi, haluan untuk 40 peratus kumpulan berpendapatan sederhana dan 20 peratus berpendapatan tinggi ialah melalui modal.
“Ramai menjadi jutawan tanpa menggunakan modal mereka sendiri. Mereka hanya meminjam, kita tidak boleh buat begitu. Inilah pengajaran yang kita belajar daripada krisis kewangan dan dalam 10 tahun ini, saya pasti krisis yang lain akan muncul,” kata bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.



Mengulas mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB), Shahrir berkata matlamatnya bagus tetapi pelaksanaannya lebih condong kepada mereka yang tidak berhak dibantu.
“Mereka bukan daripada golongan 40 peratus berpendapatan rendah dan bukan juga berpendapatan sederhana. Ini terutama selepas 1990-an yang mana dasar membantu melahirkan ahli perniagaan Melayu terkemuka berdasarkan ‘kenal siapa’ dengan kepercayaan yang kekayaan itu akan dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat. Tetapi, tidak berlaku.

“Malah, mereka yang mendapat kelebihan daripada pendidikan yang baik juga tidak boleh bersaing dengan kepakaran teknikal. Sekarang ini, MEB akan membenarkan mereka bersaing berdasarkan kepada kepakaran teknikal dan bukannya ‘siapa yang kita kenal,’ kata beliau. – Bernama

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...