Ahad, 4 April 2010

bharian: Sektor awam, swasta berdiri teguh sokong pembaharuan PM

Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed

(Sumber dari Berita Harian, 2010/04/02)

DALAM tempoh 12 bulan yang lalu Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri ke-6, dilihat sebagai suatu tempoh masa yang cukup getir dan mencabar kepada beliau dalam usaha untuk mengeratkan perpaduan nasional dan seterusnya meraih kembali sokongan rakyat.

Tampil dengan slogan keramat ‘1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, Najib terus melangkah dengan penuh bergaya melalui pelbagai pendekatan baru mengikut gaya beliau sendiri dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Ternyata beliau tidak mengambil mudah amanah diberikan rakyat dan tidak sama sekali berbulan madu dengan jawatan yang disandang. Buktinya Najib terus memperkenal dan melaksanakan pelbagai transformasi dalam semua aspek pentadbirannya demi mewujudkan kerajaan yang berfokus rakyat.



Terkenal dengan konsep tinjauan mesra, Najib sering turun padang mendekatkan diri dan mendampingi rakyat untuk melihat permasalahan rakyat. Ia membolehkan beliau mendengar keluh kesah dan denyut nadi rakyat.

Tindakan ini banyak membantu beliau merangka dan melaksanakan pelbagai aktiviti dan program untuk membantu golongan kurang berkemampuan dan yang berada dalam kesusahan. Beliau juga berusaha keras untuk menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di bawah konsep 1Malaysia dengan menyediakan ruang dan peluang adil dan saksama kepada semua kaum.

Pandangan dan permintaan setiap kaum diperhalusi dan ditanganinya dengan penuh bijak dan berhemah. Pada masa sama, menyedari hakikat bahawa imej dan reputasi kerajaan banyak dipengaruhi oleh imej perkhidmatan awam dan peranan penjawat awam dalam melaksanakan tugas masing-masing, maka beliau dilihat cukup serius dalam memartabatkan perkhidmatan awam sebaik yang mungkin.

Najib juga cukup sedar bahawa kerajaan dan perkhidmatan awam saling bergantung dan memerlukan di antara satu sama lain untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Bagi merealisasikan hasrat beliau terhadap perkhidmatan awam, Najib memperkenalkan lapan tunggak perdana ketika Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA Ke-11) pada 9 Mac lalu yang merangkumi empat tiang utama dan empat nilai asas pelengkap.
Empat tiang utama yang digariskan ialah Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Ekonomi Baru (MEB) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Empat nilai asas pelengkap yang digariskan ialah membudayakan kreativiti dan inovasi, mementingkan kepantasan bertindak dan membuat keputusan, nilai untuk wang dan nilai integriti.

Terkini Najib tampil dengan Model Ekonomi Baru (MEB) yang bakal mencorakkan hala tuju negara ini dan melonjak taraf hidup rakyat pelbagai kaum. Pengumuman lapan inisiatif pembaharuan strategik bagi merealisasikan program transformasi ekonomi Malaysia diyakini mampu mempertingkatkan kualiti hidup rakyat semua kaum.

Janji beliau bahawa tiada rakyat Malaysia yang akan hidup dalam kemiskinan, semua mendapat peluang saksama untuk berjaya dan berkongsi kemakmuran memperlihatkan sifat dan ciri-ciri seorang pemimpin yang adil, saksama dan berwawasan.

Semua usaha beliau dalam tempoh setahun ini boleh diterjemahkan melalui idea dalam beberapa aspek seperti pemeliharaan peningkatan perpaduan dalam kepelbagaian melalui konsep 1Malaysia, peningkatan penyampaian perkhidmatan kerajaan melalui Program Transformasi Kerajaan (PTK) yang menggariskan enam Bidang Kerberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Program Transformasi Ekonomi (PTE) melalui MEB.

Segala idea dan usaha ini dirangka dengan penuh teliti ke arah melahirkan sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Hakikatnya, Najib berjaya membuktikan kemampuan beliau dalam memimpin negara ini melalui cara beliau sendiri.

Beliau juga berjaya membuktikan keikhlasannya membantu segenap lapisan rakyat tanpa mengira agama, kaum dan bangsa. Segala usaha dan inisiatif beliau sudah pun mula menampakkan hasil positif serta meyakinkan rakyat. Populariti beliau di kalangan rakyat juga semakin hari semakin bertambah.

Justeru, kita harap semua pihak yang berkenaan terutama sektor awam, sektor swasta, ahli politik dan juga rakyat akan berdiri teguh di belakang Najib menyokong penuh segala pembaharuan yang sedang dan akan beliau laksanakan demi mewujudkan sebuah negara bangsa yang aman, bersatu, maju dan progresif. Selamat ulang tahun yang pertama Datuk Seri.


Penulis ialah Penolong Pendaftar Kanan Pusat Kesihatan Universiti di UPM

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...