Pelaksanaan GST ditangguh
Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2010/10/14
Kebajikan rakyat diutamakan
KUALA LUMPUR: Kerajaan menangguhkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi membolehkannya untuk berinteraksi dengan semua lapisan rakyat mengenai pelaksanaan cukai baru itu.
Mengumumkan keputusan itu, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan semalam berkata, langkah berkenaan diambil bagi membolehkan kerajaan mengambil kira kepentingan dan kebajikan rakyat untuk memastikan penguatkuasaan GST kelak akan diterima dengan baik oleh semua pihak.
“Walaupun ditangguhkan, GST adalah penting bagi memastikan kedudukan fiskal kerajaan kukuh dan mapan untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara dalam jangka masa panjang,” kata kenyataan itu.
Mengulas mengenai keputusan itu, Ketua Ahli Ekonomi RAM Holdings Bhd, Dr Yeah Kim Leng ketika dihubungi berkata, ia dilihat sebagai langkah terbaik bagi menangani keraguan dan ketidakyakinan di kalangan komuniti perniagaan dan rakyat mengenai pelaksanaannya.
Katanya, jika dilaksanakan juga tahun ini, ia dijangka akan memberi pelbagai kesan kerana ramai pihak, khususnya komuniti perniagaan kecil dan sederhana masih lagi belum bersedia untuknya.
“Meskipun ia (penangguhan pelaksanaan GST) boleh disifatkan sebagai ‘kesakitan jangka sederhana’ kepada kerajaan, namun jika dilihat untuk tempoh jangka panjang, ia akan memberi laba baik buat kerajaan,” jelasnya sambil berharap kerajaan akan membuat penilaian lebih teliti mengenai GST tahun depan.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Chua Tiam Wee berharap kerajaan akan menimbang memberikan tempoh dua tahun bagi membolehkan PKS menyediakan dokumentasi, sistem dan tenaga kerja yang diperlukan.
Ahli Majlis Kebangsaan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Koong Lin Loong, berkata pihaknya menyokong pelaksanaan GST jika ia mengurangkan lagi cukai korporat dan cukai tidak langsung.
Katanya, cukai korporat perlu diturunkan bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI) kerana ketika ini paras cukai berkenaan di Malaysia agak tinggi berbanding dengan negara jiran.
Dalam pada itu, seorang pakar percukaian yang enggan dikenali berkata, pengumuman penangguhan berkenaan adalah langkah baik memandangkan kefahaman dan penerimaan kemudiannya oleh rakyat serta komuniti perniagaan adalah faktor kritikal dalam menjayakannya.
“Sebagai contoh, dakwaan bahawa GST adalah cukai tambahan membeban dan memudaratkan rakyat seharusnya dikesampingkan kerana kita semua, miskin atau kaya sememangnya perlu membayar pengguna yang dipanggil Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan pelaksanaan GST, sebenarnya adalah untuk menggantikan Akta Cukai Jualan 1972 dan Akta Cukai Perkhidmatan 1975,” jelasnya.
“GST yang dicadangkan pada empat peratus akan menyediakan hasil dan kutipan cukai lebih menyeluruh jika ia akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan masing-masing sebanyak 10 peratus dan lima peratus.
“Ia juga menyediakan sumber hasil lain bagi kerajaan dan daripada terlebih bergantung kepada hasil daripada minyak dan gas,” katanya sambil berharap kerajaan turut memberikan tempoh dua tahun bagi membolehkan perniagaan menyesuaikan diri dengan sistem GST.
Dalam pada itu, seorang pakar percukaian yang enggan dikenali berkata, pengumuman penangguhan itu adalah langkah baik memandangkan kefahaman dan penerimaan kemudiannya oleh rakyat serta komuniti perniagaan adalah
faktor kritikal dalam menjayakannya.
Berita Harian Online | Pelaksanaan GST ditangguh
Label: Malaysiaku
0 ulasan:
Catat Ulasan