Khamis, 14 Oktober 2010

Berita Harian Online | ECER SEZ bakal terima pelaburan baru RM620j

ECER SEZ bakal terima pelaburan baru RM620j
Oleh Rosli Abdul Jalil
bhbiz@bharian.com.my
2010/10/13

image

SULTAN Ahmad Shah dan Jebasingam (dua dari kiri) menyaksikan pertukaran dokumen antara Tengku Abdul Rahman (kiri) dengan Iqbal Mohammed di Kuantan, semalam.
Projek beri impak kepada industri minyak, gas operasi 2013

ZON Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER SEZ) bakal menerima pelaburan baru bernilai RM620 juta menerusi pembinaan Pangkalan Bekalan Pengguna Bersama Pelbagai Guna di Taman Industri Minyak & Gas dan Logistik Tanjong Agas di Pekan, Pahang.
Pangkalan itu akan dibangunkan Oilfields Supply Center Ltd (OSC) berpangkalan di Dubai dan Tanjong Agas Supply Base & Marine Services Sdn Bhd (TASBMS) menerusi sebuah syarikat usaha sama, Tanjong Agas Oilfields Supply Centre Sdn Bhd (TAOSC).
Majlis pecah tanah pembinaan pangkalan itu dirancang diadakan bulan depan dan ia dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2013.

Pengarah Urusan TASBMS, Mohd Faidzal Ahmad Mahidin, berkata pangkalan itu akan dibangunkan di tapak seluas 101.17 hektar di pinggir laut sepanjang 1.5 kilometer dengan kedalaman air 20 meter.

“Apabila siap kelak, ia akan menyediakan perkhidmatan dan kemudahan sokongan menyeluruh untuk syarikat tempatan dan antarabangsa yang terbabit dalam operasi penerokaan, eksploitasi dan pengeluaran minyak dan gas luar pesisir perairan Malaysia serta perairan di sekitar Laut China Selatan," katanya pada majlis pemeteraian perjanjian usaha sama itu di Kuantan, semalam.

Pada majlis itu TASBMS diwakili Pengerusinya, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah manakala OSC oleh Pengurus Besar Perhubungan Korporatnya, Iqbal Mohammed Abdullah Abedin.
Ia disaksikan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah serta Ketua Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John.

Mohd Faidzal berkata, TASBMS yakin kerjasamanya dengan OSC itu bakal memberikan impak besar kepada industri minyak dan gas di Malaysia, di samping merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan, terutama di Pekan.

Sementara itu, Iqbal Mohammed Abdullah, berkata pembabitan OSC di Tanjung Agas bukan sekadar pelaburan perniagaan semata-mata tetapi lebih bersifat perkongsian dengan Malaysia.

“Kami mempunyai pengalaman lebih 50 tahun dalam bidang minyak dan gas dan usaha sama ini akan mencetuskan kejayaan yang diharapkan,” katanya sambil menambah syarikat usaha sama itu akan memanfaatkan kepakaran dan kemahiran teknikal OSC bagi menyumbang kepada pembangunan sektor minyak, gas dan petrokimia di kawasan ECER dan Malaysia.

Jebasingam pula berkata, pangkalan bekalan itu akan menjadi komponen utama di Taman Industri Minyak & Gas dan 
Logistik Tanjong Agas.

Berita Harian Online | ECER SEZ bakal terima pelaburan baru RM620j

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...