2010/10/21
DARI kiri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Khairy Jamaluddin dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempat meluangkan masa meninjau perjalanan Perhimpunan Agung ketiga-tiga sayap UMNO di PWTC, tengah hari semalam. Najib bersalaman dengan Wanita UMNO yang berkumpul di ruang legar PWTC.
DARI kiri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Khairy Jamaluddin dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempat meluangkan masa meninjau perjalanan Perhimpunan Agung ketiga-tiga sayap UMNO di PWTC, tengah hari semalam. Najib bersalaman dengan Wanita UMNO yang berkumpul di ruang legar PWTC.
Tiga sayap komited memperkasa agenda Melayu
KUALA LUMPUR: Tiga sayap UMNO – Wanita, Pemuda dan Puteri komited menjadikan agenda Melayu yang berpayungkan Gagasan 1Malaysia sebagai perjuangan asas bagi menentukan UMNO terus menjadi tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN).
Pada masa sama, pergerakan itu mahu Model Politik Baru yang disarankan Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak diserap sebagai usaha mengubah dan memperkasakan politik masa kini, sesuai dengan landskap politik semasa, sekali gus memberi landasan lebih jelas mengenai hala tuju yang mengasimilasikan gagasan 1Malaysia.
Bagi tujuan itu, Wanita, Pemuda dan Puteri mengajak ahli di semua 191 bahagian parti seluruh negara menggarap, memahami perjuangan asas, mengemudi dan menarik semula sokongan golongan muda untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum akan datang yang bakal menentukan survival UMNO sebagai tonggak BN bersama 14 parti politik.
Sehubungan itu, ketiga-tiga sayap mahu pendekatan lebih holistik dilakukan untuk mendekati golongan muda seperti melalui Facebook, Twitter, Skype dan Youtube, memandangkan kira-kira 80 peratus atau hampir tiga juta daripada pengundi baru pada pilihan raya umum akan datang, adalah golongan muda.
Ia disuarakan Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dalam ucapan dasar masing-masing pada Perhimpunan Agung pergerakan itu, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini semalam.
Shahrizat berkata, agenda Melayu yang berpayungkan Gagasan 1Malaysia yang menjadi harapan, impian dan aspirasi seluruh bangsa Melayu, menuntut pemimpin dan ahli parti bersatu, bertekad menentukan bangsa Melayu tidak berpecah-belah.
“Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Kita tidak boleh lagi berada dalam zon selesa. Saya bertekad mengajak Wanita UMNO bersiap sedia memperjuangkan peranan yang lebih bermakna dalam parti dan kerajaan.
Beliau berkata, ahli parti mesti sedia berkorban demi mempertahankan setiap perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan daripada sebarang tentangan dan penghinaan.
Khairy, ketika menyentuh persekitaran politik baru atau ‘political milieu’, khususnya membabitkan golongan muda, berkata Najib pernah mengingatkan bahawa dalam dunia politik hari ini, parti tidak boleh menang dengan hanya bertongkatkan kuasa.
Justeru, katanya, apa yang diperlukan hari ini ialah politik berteraskan pemikiran dan idea kerana gelanggang siasah sekarang tidak lagi memberi ruang kepada pertembungan kuasa semata-mata, sebaliknya persaingan minda dan pertempuran idea.
“Suka tak suka, mereka yang mencabar ideologi politik kita perlu kita depani di pentas politik yang bertunjanggkan ilmu agar mereka dapat kita tewaskan dengan kekuatan hujah dan ketajaman intelek, bukannya bergantung kepada kuasa eksekutif semata-mata,” katanya.
Rosnah pula berkata, Model Politik Baru dapat menyediakan landasan lebih jelas mengenai hala tuju yang bersifat praktikal dan pragmatik dengan mengekalkan roh serta semangat perjuangan tokoh-tokoh terdahulu, berteraskan tuntutan akar umbi.
“Kita yakin dan berharap generasi muda akan aktif menyumbangkan idea progresif bagi penghasilan kerangka Model Politik Baru ini. Dengan itu, kita boleh melangkah seiring, sederap berbunyi lantang,” katanya.
Mengenai ICT, beliau berkata, Puteri kesal kerana Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) umpama harimau tidak bergigi, mengaum tidak berbunyi dan berharap akan ada satu usaha bersepadu yang dapat digerakkan untuk menilai semula akta sedia ada kepada yang lebih terarah dan mempunyai kawalan berhemah.
Label: Malaysiaku
0 ulasan:
Catat Ulasan