Khamis, 14 Oktober 2010

Berita Harian Online | Konsep 1Malaysia berlandas Perlembagaan Negara

Konsep 1Malaysia berlandas Perlembagaan Negara
Oleh Ridzuan Yop dan Ratinawati Rasidi
rencana@bharian.com.my
2010/10/12
Pandangan Perdana Menteri mampu padam kekeliruan di kalangan rakyat berbilang kaum

SEJAUH mana kefahaman rakyat terhadap Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara? Berapa ramai daripada 29 juta rakyat negara ini yang pelbagai kaum, agama dan latar belakang; menghayati dan memahami undang-undang tertinggi serta asas kepercayaan itu hingga menjadikannya panduan hidup demi mencapai perpaduan utuh.
Pelbagai dasar kerajaan dibentuk berlandaskan nilai utama termaktub dalam Perlembagaan dan berpandukan lima teras Rukun Negara. Benarkah warga kita sudah lupa atau sengaja melupakan apa yang termaktub dalam Perlembagaan dan tidak mengamalkan nilai murni yang digariskan Rukun Negara?
Kegagalan memahami dan menghayati Perlembagaan boleh menggagalkan apa juga bentuk gagasan mahupun dasar diperkenalkan kerajaan. Tidak mustahil ia berlaku kepada 1Malaysia jika rakyat terus mentafsir gagasan itu berdasarkan pemahaman sendiri tanpa merujuk Perlembagaan dan Rukun Negara.

Timbalan Ketua Bahagian Penasihat Syariah Jabatan Peguam Negara, Mahamad Naser Disa, berkata Datuk Seri Najib Razak sering menekankan Gagasan 1Malaysia tidak boleh mengetepikan Perlembagaan dan Rukun Negara. Apa yang digariskan seharusnya dikekalkan, dihormati dan dipatuhi.

Katanya, 1Malaysia diperkenalkan sebagai pendekatan bertujuan mewujudkan perpaduan dan bukan wawasan seperti diperkenalkan Tun Dr Mahathir Mohamad melalui Wawasan 2020 sebagai kaedah mencapai kemajuan sedangkan 1Malaysia menjurus kepada perpaduan.

“Demikian juga dengan Rukun Negara, selepas peristiwa 13 Mei 1969, bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein memperkenalkan Rukun Negara. Satu bentuk ideologi untuk membentuk satu bangsa iaitu Malaysia.
“Ia prinsip dan garis panduan yang ditetapkan sebagai panduan hidup seharian dan ia perlu didukung sepenuhnya,” katanya ketika menjelaskan konsep ‘1Malaysia Daripada Aspek Perundangan’ pada Siri 3 Forum Jati Diri di Balai Berita di ibu negara, baru-baru ini.

Mahamad Naser yakin ramai dalam kalangan generasi muda tidak memahami nilai Kesopanan dan Kesusilaan yang termaktub dalam Rukun Negara. Maka tidak hairan hari ini masyarakat kita diselubungi ‘generasi kurang ajar’ sebagai natijah daripada sikap acuh tak acuh generasi muda.

Malah katanya, kecelaruan memahami konsep 1Malaysia mengakibatkan ramai rakyat mentafsir mengikut selera sendiri hingga lupa kita punya undang-undang tertinggi dan prinsip Rukun Negara yang perlu didukung sehingga sanggup bertindak menuntut hak yang ada kalanya di luar kewarasan akal.

Justeru, katanya, tidak hairan tampil kumpulan kalangan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) menuntut hak di SUHAKAM kerana berasa hak mereka ada dalam 1Malaysia dan perlu diiktiraf berdasarkan ‘Prinsip Jogjakarta’. Prinsip itu diluluskan pada 2007 apabila golongan LGBT mengadakan pesta menuntut hak mereka.

“Jadi, bila kita mengambil pendekatan 1Malaysia melalui satu interpretasi yang bebas maka ia adalah salah. Sedangkan dalam Islam tak boleh sama sekali (merujuk tuntutan LGBT). Dalam al-Quran terdapat surah khas mengecam mereka. Jadi perkara begini dianggap tidak bermoral maka ia tidak boleh diterima,” katanya.

Forum Jati Diri dianjur akhbar Berita Harian dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) serta Persatuan Sarjana Komunikasi dan Media Malaysia (PERSKOM).

Turut hadir, Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid; Ketua Satu GAPENA, Prof Emeritus Tan Sri Ismail Hussein, pelajar Jabatan Media Universiti Malaya (UM) dan ahli GAPENA.

Pada forum itu, Ketua Dua GAPENA, Profesor Datuk Dr Abdul Latif Bakar bertindak selaku moderator dengan membincangkan pelbagai perkara membabitkan konsep gagasan 1Malaysia serta cabaran mengikut perspektif undang-undang.

Seorang lagi panel forum, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, setiap dasar mahupun undang-undang yang digubal di negara ini mesti berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. Soal dasar yang membabitkan agama, hak istimewa orang Melayu, Raja-Raja Melayu dan hak kebebasan asasi adalah isu utama perlu diambil kira kerajaan dalam menggarap dasarnya.

Beliau berkata, Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara, justeru, ia perlu dihayati, ditafsirkan dan diikuti oleh mana-mana dasar Persekutuan.

“Apa-apa juga dasar yang wujud selepas Perlembagaan boleh terbatal dengan sendirinya jika ia didapati tidak mematuhi perkara asas yang ada,” katanya.

Zainul memberi contoh dengan memetik penghakiman, Hakim Mohd Noor Abdullah dalam kes Meor Atiqurrahman melawan Fatimah Sihi berpendapat kedudukan Perkara 3 (1) seperti berikut: Peraturan pakaian seragam sekolah yang menjelaskan mengenai pengguna seluar pendek bagi pelajar lelaki dan pneafore tunic bagi pelajar perempuan di sekolah menengah dilihat sebagai membelakangkan agama Islam kerana mendahulukan yang kemudian dan mengkemudiankan yang dulu tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Malah katanya, tidak perlu diwujudkan akta atau undang-undang baru bagi melaksanakan gagasan 1Malaysia. Jika diwujudkan juga belum pasti ia dapat mengekang pelbagai tafsiran oleh pihak tertentu sama seperti apa yang berlaku sekarang.

“Tidak dinafikan memang wujud kecelaruan dalam menafsir 1Malaysia, seolah-olah orang Melayu saja yang mempertahankan Perlembagaan sedangkan kaum lain didakwa tidak berbuat demikian tetapi pada masa yang sama mereka mahukan kesamarataan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pemahaman terhadap Perlembagaan perlu diperjelas terutama daripada sudut sejarah supaya semua kaum memahami secara mendalam dan tidak lagi berlaku bahawa membantu sesuatu kaum terutama Bumiputera dilihat sebagai perkauman.

Oleh itu, beliau berkata, individu terbaik dan dilihat mampu memberi penjelasan secara telus adalah Perdana Menteri. 

Pandangan beliau saja dilihat mampu memadam kekeliruan rakyat kerana gagasan itu dicetuskan oleh beliau sendiri.

Berita Harian Online | Konsep 1Malaysia berlandas Perlembagaan Negara

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...