Jumaat, 18 Mac 2011

[Tsunami di Jepun]Usah cemas

Berita Harian Online|Usah cemas

2011/03/17

image

KAKITANGAN Pusat Maklumat Radiologi Lembaga Pelesenan Tenaga Atom, di Dengkil memantau tahap radiasi dalam udara di enam stesen Sistem Pemonitoran Radiologi Alam Sekitar (ERMS) 24 jam, semalam.

Paras radioaktif di Malaysia pada tahap normal

KUALA LUMPUR: Pelepasan radioaktif ekoran loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi yang terjejas akibat gempa bumi dan tsunami di Jepun, Jumaat lalu adalah rendah dan tidak mungkin sampai ke Malaysia.

“Maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan arah dan pergerakan angin adalah ke timur dan timur laut Jepun. Oleh kerana pelepasan radioaktif rendah, tidak mungkin ia akan sampai ke negara kita,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata, pemantauan melalui Sistem Pemonitoran Radiologi Alam Sekitar (ERMS) di enam lokasi seluruh Malaysia, iaitu Chuping, Ipoh, Kota Kinabalu, Kuantan, Kudat dan Senai masih menunjukkan paras sinaran di Malaysia pada paras normal iaitu 0.17 uSv/jam dengan had dedahan sinaran orang awam adalah 0.50 uSv/jam.

Menerusi mekanisme pengawalan masuk bahan radioaktif sama ada melalui kargo atau manusia melalui Sistem Pemonitoran Portal yang dipasang di lapangan terbang antarabangsa KLIA, Kota Kinabalu, Kuching dan Pulau Pinang sejak 2009 juga menunjukkan tiada kadar dedahan melebihi paras normal dikesan sehingga kini.

Ongkili berkata, kementeriannya melalui Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) dan Agensi Nuklear Malaysia terus memantau situasi di Jepun sehingga kini dan Pusat Maklumat Radiologi beroperasi 24 jam untuk sebarang persoalan teknikal dari orang awam.

Maklumat terkini mengenai kejadian di Jepun boleh diperoleh di laman web IAEA www.iaea.org, laman web Nuclear and Industrial Agency, Jepun www.nisa.meti.go.jp dan Pusat Maklumat Radiologi, AELB di talian hotline 1800-88-7999.

Beliau berkata Malaysia, melalui AELB, sentiasa dikemaskini dengan maklumat terkini dan yang disahkan IAEA. -  BERNAMA

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...