Jumaat, 18 Mac 2011

[Tsunami di Jepun] 'Tak perlu ambil pil Pottasium Iodide'

Berita Harian Online|'Tak perlu ambil pil Pottasium Iodide'

2011/03/18
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan melarang rakyat di negara ini mengambil pil Pottasium Iodide disebabkan terpengaruh dengan khabar angin bahawa Malaysia terdedah kepada radiasi selepas pelepasan radioaktif dari loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi yang terjejas akibat gempa bumi dan tsunami di Jepun, 11 Mac lalu.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, rakyat dinasihatkan tidak panik dengan khabar angin berkenaan kerana sehingga kini Malaysia disahkan selamat.

"Rakyat jangan panik dengan khabar angin itu. Saya juga minta mereka supaya jangan membuat keputusan sendiri dengan mengambil pil Pottasium Iodide terutama wanita mengandung tanpa nasihat doktor," katanya di lobi Parlimen di sini, semalam.
Beliau mengulas mengenai kebimbangan rakyat Amerika Syarikat yang mula panik dengan membeli pil Pottasium Iodide kerana bimbang terdedah kepada radiasi yang boleh membawa penyakit barah.

Tiong Lai berkata, pengambilan pil Pottasium Iodide bukan satu-satunya langkah penyelesaian tetapi banyak lagi yang boleh dilakukan untuk melindungi kesihatan sekiranya radiasi terus meningkat.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Jepun selain mendapatkan maklumat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung langkah pencegahan melindungi kesihatan rakyat di negara ini.

Katanya, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) dan Agensi Nuklear Malaysia akan terus memantau situasi di Jepun bagi memastikan rakyat mendapat maklumat tepat dan terkini.

FAKTA: Pottasium Iodide
Sejenis dadah tanpa preskripsi digunakan bagi melindungi tiroid daripada terdedah tahap radiasi tinggi.
Tidak boleh melindungi anggota tubuh badan lain.
Boleh merosakkan tubuh yang alahan kepada iodin.
Kesan sampingan lain termasuk boleh menyebabkan rasa loya, mual, ketidakselesaan perut, kegatalan, melecur 
dan bertindak balas terhadap alahan.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...