Jumaat, 18 Mac 2011

[Tsunami di Jepun] Kerajaan sedia tanggung kos bawa pulang rakyat kita

Berita Harian Online|Kerajaan sedia tanggung kos bawa pulang rakyat kita

2011/03/18
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia menanggung perbelanjaan membawa pulang seramai 293 rakyat Malaysia yang tinggal di empat kawasan terjejas teruk dalam kejadian gempa bumi dan tsunami di Jepun, Jumaat lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata empat kawasan terjejas itu ialah Fukushima seramai 39 orang, Iwate (29 orang), Miyagi (60 orang) dan Ibaraki (165 orang).

Beliau berkata, setakat ini hanya 50 orang daripada mereka mengesahkan untuk pulang dan dijangka tiba di tanah air dalam masa dua hari lagi.

"Mereka yang tinggal di kawasan selamat tidak akan ditanggung harga tiket pulang. Bagaimana sekiranya keadaan semakin meruncing sehingga memaksa membawa semua rakyat Malaysia keluar dari Jepun, kita akan mempertimbangkannya," katanya kepada media di lobi Parlimen di sini, semalam.

Anifah turut nasihatnya rakyat Malaysia yang ingin pulang agar memaklumkan kepada Kedutaan Malaysia di Jepun sebelum berlepas bagi memastikan mereka dapat mengemas kini jumlah rakyat negara ini yang masih ada di sana.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga sudah berbincang dengan Penerbangan Malaysia (MAS) agar memberi keutamaan sebanyak 150 tempat duduk kepada rakyat Malaysia yang mahu pulang ke tanah air.

Diminta mengulas kemungkinan mengeluarkan semua rakyat Malaysia seperti dilakukan negara lain, Anifah berkata, ia tidak akan dilakukan sehingga mendapat arahan pihak berkuasa Jepun.

Terdahulu dalam ucapan penggulungan perbahasan usul bagi merakamkan ucapan takziah dan simpati yang sangat mendalam kepada Kerajaan Jepun dan semua mangsa tragedi bencana gempa bumi dan tsunami di negara itu, Anifah berkata, rakyat Malaysia yang mahu pulang ke tanah air boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo untuk mengatur penerbangan mereka.

Bagaimanapun, katanya pemberitahuan itu tidak dapat dimaklumkan secara rasmi bagi memelihara hubungan diplomatik antara dua negara.

"Kita sudah menasihatkan rakyat kita di sana, sesiapa yang ingin balik, kita sedia mengatur penerbangan mereka. Kita sudah memaklumkan kepada semua pihak yang berjumpa dan menghubungi kita," katanya.

Anifah berkata, sehingga jam 9 pagi semalam, kedutaan berjaya menghubungi 1,690 rakyat Malaysia dan semua mereka disahkan selamat.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...