Isnin, 9 Mei 2011

Analisis: Rangka dasar tangani kenaikan harga barang

Analisis: Rangka dasar tangani kenaikan harga barang
Oleh Mohd Afzanizam Abd Rashid
bhbiz@bharian.com.my
2011/05/09
ISU kenaikan harga sering di perkatakan di mana-mana sama ada di media ataupun sekadar perbualan tidak formal sesama rakan sepejabat. Ternyata isu ini mendapat perhatian dari segenap lapisan masyarakat.

Walau begitu pandangan umum sering mengaitkan faktor kos sebagai punca kepada masalah kenaikan harga itu, walhal, isu peningkatan permintaan juga sepatutnya diberikan perhatian apabila membahaskan mengenai inflasi.

Umum juga sering mengatakan kenaikan harga akan sentiasa berterusan dan menganggap pengurangan atau kejatuhan paras harga adalah sesuatu yang sukar untuk berlaku.

Selain itu, angka Indeks Harga Pengguna (IHP) juga mendapat kritikan kerana ada segelintir masyarakat yang berpendapat bahawa ia tidak melambangkan keadaan sebenar situasi inflasi di negara ini.

Perangkaan terkini menunjukkan IHP pada bulan Mac telah meningkat sebanyak 3.0 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. Dari pecahan IHP itu, didapati harga makanan dan minuman tidak beralkohol yang mewakili 30.3 peratus daripada keseluruhan jumlahnya, meningkat sebanyak 4.7 peratus untuk tempoh dua bulan berturut-turut.

Pecahan yang lebih terperinci juga menunjukkan indeks harga bagi daging, barangan tenusu serta gula telah meningkat sebanyak 7.6 peratus, 6.0 peratus dan 22.5 peratus.

Ia adalah selaras dengan perangkaan yang di keluarkan oleh Organisasi Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu yang menunjukkan indeks harga makanan telah meningkat sebanyak 36.5 peratus pada bulan Mac tahun ini.
Dari sudut sektor pertanian, kenaikan harga adalah sesuatu yang tidak memeranjatkan berikutan beberapa komoditi barangan seperti beras, daging dan susu mempunyai tahap sara diri yang rendah iaitu kurang daripada 100 peratus.

Contohnya, tahap sara diri bagi beras, daging lembu dan susu yang dicatatkan pada tahun 2010 adalah berada pada paras 71.4 peratus, 28.6 peratus dan 4.9 peratus.

Ia bermakna, negara kita perlu mengimport barangan itu bagi memenuhi keperluan makanan di negara ini.

Bukti itu diperkukuh lagi dengan imbangan dagangan bagi sektor makanan yang menunjukkan peningkatan imbangan defisit sebanyak RM12.1 billion pada tahun 2010 berbanding defisit RM10.9 billion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Oleh yang demikian, negara kita terdedah kepada turun naik harga makanan global yang akhirnya akan di terjemahkan kepada harga domestik berikutan pengimportan makanan dari negara luar.

Berdasarkan kepada perkara di atas, boleh kita kesimpulan bahawa sektor pertanian mempunyai potensi yang tinggi sebagai salah satu ejen penstabilan harga. Namun, keadaan semasa menunjukkan ketidakseimbangan di dalam sektor pertanian yang mana pengeluaran minyak kelapa sawit serta getah adalah komoditi utama di sektor ini.

Jumlah pengeluaran bagi kedua dua komoditi itu adalah sekitar 57 peratus daripada jumlah pengeluaran di sektor pertanian pada 2010.

Mungkin pada masa akan datang, keadaan ini dapat diperbaiki melalui peningkatan produktiviti serta pengeluaran di sektor makanan.

Selain itu, ia juga mampu menjana peluang pekerjaan terutama bagi masyarakat di luar bandar dan sekali gus dapat mengurangkan jurang pendapatan sekiranya sektor ini dapat dikomersialkan dengan lebih meluas.

Seharusnya, isu inflasi ini perlu dilihat dari perspektif yang lebih luas iaitu kenaikan harga tidak semestinya tertumpu kepada kos barangan saja, malah ketidakseimbangan dalam penawaran dan permintaan sektor tertentu seperti makanan juga memainkan peranan yang penting menaikkan tingkat harga umum.

Oleh itu, dengan memahami punca sebenar masalah inflasi tersebut maka dapat kita bertindak serta merangka dasar yang sesuai bagi menangani isu itu.

Penulis ialah Ahli Ekonomi di Malaysian Rating Corporation Bhd

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...