Di mana salahnya bahasa Melayu?
Sinar Harian 2 Mei 2011
Tidak ramai yang mahu menerima hakikat bahawa sekolah vernakular menjadi punca kepada kelemahan penguasaan bahasa kebangsaan dan masalah interaksi antara kaum dalam mencapai matlamat perpaduan nasional. Sehinggalah kajian terbaharu tahun lalu, membabitkan 159 sekolah di seluruh negara, oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK), mendapati ramai pelajar dari sekolah-sekolah terbabit tidak faham sama ada Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia apabila mereka melangkah ke sekolah menengah kebangsaan dan menjadi dewasa.
Kajian sebelum ini, turut membuktikan perkara yang sama. Pada tahun 1993, lebih 61 peratus pelajar sekolah vernakular tidak mencapai tahap minima penguasaan bahasa Melayu. Perkara ini terus disenyapkan. Tidak seperti isu 1Melayu 1Bumi. Bila terkena pada batang hidung sendiri mereka diam, tetapi bila kena pada orang lain, heboh 1Malaysia. Kajian sebegini sememangnya amat tidak disenangi oleh parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perkauman yang ultra kiasu. Komen-komen dalam Malaysianinsider terus menyalahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN). Kenapa UMNO dan BN dimangsakan dalam isu ini?
Selama inipun, kerajaan seolah-olah langsung tidak boleh menyentuh sekolah vernakular, walaupun sebahagian besar bantuan diberikan? Setiap kali penambahbaikan dibuat untuk memperkasa bahasa Melayu, akan ditentang habis-habisan. Ternyata, mereka memandang rendah kepada bahasa kebangsaan. Jika pandaipun bahasa Melayu boleh pergi ke mana? Lebih baik menguasai bahasa ibunda atau bahasa Inggeris! Ada juga faedahnya. Mereka tidak fikir langsung soal membina negara. Dalam kepala otak mereka adalah untuk mengekalkan warisan bangsa dan membina kekayaan. Persoalannya, boleh kita bekerja dengan aman, jika negara tidak stabil atau saling bercakaran?
Sudah berbuih-buih mulut saya bercakap dan lenguh tangan menulis. Tetapi setiap kali saya bangkitkan maka melompatlah kumpulan ultra kiasu? Adakah ini bukan bermakna mempertahankan 1Cina 1Bumi? Jangan terlalu menuding jari, takut memakan diri.
Kenapa perkara ini boleh berlaku? Semua sedia maklum bahawa bahasa ibunda adalah bahasa rasmi sekolah vernakular dan diajar dan pertuturkan hampir 24 jam, jika tidak tidur. Manakala bahasa kebangsaan hanya diajar lebih kurang 3 kali seminggu dalam jangka masa 40 minit setiap waktu. Begitu juga dengan bahasa Inggeris. Dengan makna, bahasa kebangsaan ini hanya ‘digunakan’ 2 jam daripada 5 hari persekolahan daripada 120 jam yang ada. Jika dicampur hari cuti Sabtu Ahad, bermakna bahasa kebangsaan hanya digunakan tidak sampai satu peratus seminggu dari 168 jam. Adakah ini wajar bahasa Melayu ‘dilayan’ sedemikian rupa dalam sebuah negara yang mendaulatkannya (Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan)?
Dengan scenario sebegini, bayangkanlah apakah bahasa kebangsaan boleh dikuasai? Nampaknya agenda membina negara masih terlalu jauh untuk dicapai walaupun telah lebih 53 tahun kita merdeka. Persekitaran dan sosialisasi politik hidup rakyat negara ini amat berbau perkauman sehingga membantutkan pengamalan dan penghayatan agenda besar negara. Akibatnya, agenda bangsa semakin besar dan besar kepala, manakala agenda negara menuju kepada kepupusan.
Sebenarnya kita tidak ada pilihan dalam membina negara? Jika tidak dipaksakan dan diwajibkan agenda negara ini dihayati, sampai kiamatpun kita akan menghadapi masalah yang sama. Jika saban hari berinteraksi dengan orang sama, bahasa yang sama, sekolah yang sama dan budaya yang sama, media yang sama, di manakah titik pertemuan dan persamaan untuk dicari dalam masyarakat berbilang kaum? Bagaimanakah anak-anak ini boleh mengutamakan agenda negara? Maka tidak hairanlah jika mereka gagal. Kita sengaja menggagalkan mereka. Kita sudah bentuk mereka menjadi ultra kiasu sejak kecil.
Selaku Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, di salah sebuah sekolah menengah yang majoriti pelajarnya datang dari sekolah vernakular di Ampang, masalah ini begitu ketara. Pelajar kelas peralihan, langsung tidak tahu bahasa Melayu mudah. Situasi sebegini tidak banyak bezanya apabila mereka bergerak ke tingkatan 1-5. Janganlah kita sangka bahawa mereka yang tidak berada di kelas peralihan bermakna bahasa Melayu mereka sudah baik!
Apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan baru-baru ini di sekolah saya sebutkan tadi, majoriti pelajar Cina gagal bahasa Melayu. Peratusan kelulusan SPM 2010 turun menjunam sebanyak 10 peratus. Semuanya gara-gara pelajar-pelajar bukan Melayu gagal dalam bahasa Melayu. Apabila keputusan SPM tidak meningkat, sekolah, pengetua, guru-guru dan PIBG disalahkan? Apakah tindakan ini wajar?
Bila ditanya guru sekolah vernakular, mereka menyalahkan guru sekolah menengah kerana tidak pandai mengajar bahasa Melayu. Persoalan saya, apakah yang yang kita lakukan untuk memandaikan mereka dengan bahasa Melayu ketika anak-anak itu masih rebung? Kita teramat sedih mendengar, kerajaan memperuntukan berbilion ringgit untuk penambaikan pengajaran bahasa Inggeris. Terkini, lebih 10,000 guru akan dilatih untuk memandaikan anak bangsa berbahasa Inggeris. Persoalan saya, bagaimana dengan bahasa kebangsaan? Berapa pula peruntukan yang disediakan? Berapa ramai pakar disediakan?
Benar, bahasa Inggeris penting untuk kemajuan, bahasa Melayu pula bagaimana? Manakah lebih penting antara agenda kemajuan dan agenda perpaduan (negara)? Tidak ketinggalan agenda patriotisme? Apakah negara akan maju jika rakyatnya tidak ada semangat sayangkan bumi tercinta ini? Kemajuan seperti ini tidak akan kekal lama.
Saya sudah letih memperkatakan perkara yang sama setiap kali. Bila tulisan ini disiarkan, saya akan dihina, dikecam dan dikeji. Sedangkan kita tidak pernah serius. Kita hanya mahu menjaga hati orang atau menjaga undi. Apabila NGO-NGO atau parti politik menyerang, kitapun menjadi kelam kabut. Akhirnya kita mengalah, mengalah dan mengalah, seterusnya kalah. Masalah terus menjadi masalah sehinggalah ke peringkat pengajian yang lebih tinggi.
Jika tidak percaya, berkunjunglah ke Kolej New Era, Universiti Terbuka Wawasan dan Universiti Tunku Abdul Rahman. Operasinya langsung tidak ada bezanya dengan sekolah vernakular, malah lebih teruk lagi. Universiti Merdeka telah wujud sebenarnya, dengan nama berbeza walaupun kerajaan telah bertindak mengharamkannya.
Tidak cukup dengan itu, mereka masih tergamak terus menekan kerajaan supaya memberi layanan sama rata dan sama sama kepada semua sekolah vernakular, mengikhtiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan banyak lagi. Pendek kata, selagi ada sekolah vernakular, tanpa dilakukan penambaikan secara tegas, selagi itulah terlalu sukar untuk kita mencapai perpaduan dan matlamat membina negara. Tunggu dan lihat akibatnya.
Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, penulisan ini adalah pendapat peribadi beliau
Label: Bahasa, Malaysiaku
0 ulasan:
Catat Ulasan