Selasa, 11 Mei 2010

Miti terima banyak pertanyaan daripada pelabur asing

(Sumber dari Berita Harian, 2010/05/08)

AGENSI di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) kini menerima lebih banyak pertanyaan dari bakal pelabur serta pelabur asing sedia ada yang berminat mengembangkan pelaburan di negara ini.

Menteri Miti, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang kini berada di Washington berkata, lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini telah meningkatkan profil Malaysia, dan syarikat AS berminat dengan pelbagai inisiatif yang diperkenalkan kerajaan dalam meliberalisasikan sektor perkhidmatan kewangannya dan pe-ngenalan Model Ekonomi Baru.

AS tahun lalu adalah rakan perdagangan ketiga terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan sebanyak AS$31.03 bilion dengan eksport berjumlah AS$17.21 bilion dan import AS$13.82 bilion. Malaysia pula adalah rakan perdagangan AS ke 18 terbesar.



AS juga adalah pelabur asing kedua terbesar dalam sektor pengilangan Malaysia dengan pelaburan berjumlah RM21.6 bilion dalam 155 projek.

Mustapa berada di ibu negara AS itu bagi mengikuti pameran bergerak Menteri Ekonomi Asean untuk mempromosikan kumpulan serantau itu dan pembentukan Komuniti Ekonomi Asean menjelang 2015.

Beliau juga bertemu ahli kumpulan pemikir, Peterson Instutute for International Economics.

Institut itu menyokong usaha Malaysia untuk menyertai Kerjasama Ekonomi Strategik Trans-Pacific (TPP), iaitu instrumen utama untuk menarik AS dan lain-lain negara Asia Pasifik dalam pengembangan dagangan.



Mustapa berkata, Malaysia berminat untuk menyertai TPP, satu inisiatif perdagangan yang penting sejak pentadbiran Obama, berikutan kelembapan perkembangan rundingan perdagangan Doha.

“Sebagai sebuah negara perdagangan utama di dunia, Malaysia melihat manfaat daripada kerjasama ini dan kita bekerjasama dengan pemegang kepentingan domestik, kedua-dua sektor swasta dan kerajaan,” katanya.

Kemasukan ke dalam TPP memerlukan persetujuan semua lapan negara ahlinya.

AS telah berkata adalah penting bagi negara yang berminat untuk menyertai perbincangan untuk memastikan mereka boleh menjanjikan komitmen dalam bidang yang diperlukan. – Bernama

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...