Selasa, 11 Mei 2010

Isu hutang Greece, langkah China beri kesan sementara

Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my

(Sumber dari Berita Harian, 2010/05/07)

FBMKLCI dijangka teruskan semula arah aliran meningkat

KESAN krisis hutang Greece dan langkah membendung spekulasi yang dilaksanakan China kepada sentimen pasaran di seluruh dunia, termasuk Malaysia ketika ini hanya bersifat sementara berikutan tindak balas keterlaluan pelabur, kata firma penyelidikan OSK Research.

Ketua Penganalisisnya, Chris Eng, berkata apabila kebimbangan kemungkinan kedua-dua masalah itu boleh menjejaskan sistem kewangan dunia reda, dengan kemunculan angka tunjuk mengenai kekukuhan asas ekonomi, pelabur akan kembali memasuki pasaran.



Bagi pasaran tempatan, katanya, Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBMKLCI) akan meneruskan semula arah aliran meningkatnya selepas itu untuk bergerak ke arah paras sasaran 1,465 mata menjelang akhir tahun ini.

“Walaupun masalah Greece dan langkah China itu akan dipantau pelabur, namun kami berpendapat pasaran tempatan kekal kukuh dengan syarikat korporat dijangka mengumumkan keputusan kewangan lebih baik suku pertama tahun ini.

“Pada masa sama, pengukuhan ringgit dan jangkaan kadar pertumbuhan ekonomi suku pertama yang di luar jangkaan juga akan merangsang semula pasaran saham tempatan,” katanya sambil menambah pasaran dijangka mengalami kadar naik turun yang tinggi sehingga akhir bulan depan, sebelum meneruskan semula arah aliran meningkat pada suku ketiga.

Bagi keseluruhan tahun ini, beliau berkata, FBMKLCI dijangka mampu meningkat mencecah 1,465 mata dan paras wajarnya tahun depan adalah pada 1,580 mata.
Eng berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan buku tahunan 50 Syarikat Bermodal Kecil Terunggul 2010 di Kuala Lumpur, semalam.

Masalah hutang Kerajaan Greece yang muncul pertengahan bulan lalu meruncing sejak seminggu lalu apabila rakyatnya mula merusuh membantah langkah kerajaan mengurangkan perbelanjaannya termasuk menurunkan gaji dan pelbagai peruntukan awam.

Langkah itu dikhuatiri akan menggagalkan usaha Kesatuan Eropah (EU) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyediakan pakej menyelamat bernilai AS$145 bilion kepada Greece.

Pelabur juga bimbang beberapa negara anggota EU seperti Portugal, Sepanyol dan Itali akan mengalami masalah sama susulan prospek pertumbuhan negara itu yang mendatar setelah menghabiskan berbilion dolar bagi menyokong ekonominya ketika krisis kewangan global baru-baru ini.

Berikutan kebimbangan pelabur mengenai krisis itu dan langkah membendung spekulasi dilaksanakan China, pasaran saham dunia menurun minggu ini.

Indeks Perusahaan Dow Jones menjunam 225.06 mata atau 2.1 peratus dalam tempoh dua hari kepada 10,926.77 mata pada penutup awal pagi semalam.

Pasaran tempatan tidak terkecuali apabila penanda aras utamanya, FBMKLCI yang mencecah paras tertinggi baru dalam tempoh dua tahun iaitu 1,486.89 mata pada Isnin lalu, susut 11.24 mata atau 0.8 peratus kepada 1,335.65 mata kelmarin.



Mengenai buku 50 syarikat modal kecil terbaik baru terbitan OSK Research itu, Tan berkata, pihaknya menyenaraikan 19 syarikat baru tahun ini.

Katanya, buku edisi keenam itu turut menambah dua kategori baru iaitu penyedia perkhidmatan kewangan dan konglomerat.

“OSK Research menjangka semua saham 50 syarikat itu berpotensi meningkat antara lima hingga 15 peratus,” katanya.

Beliau berkata, 19 syarikat baru yang dimasukkan itu ialah iaitu CI Holdings, Delloyd Ventures, Signature International, Axis REIT, EP Manufacturing, Notion Vtec, Glomac, Sunway Group, Mamee-Double Decker, Multi Sports, Salcon, Faber, AEON Credit, Protasco, Zhulian, Handal, Engtek, Southern Steel dan Evergreen Fibreboard.

“Syarikat itu dipilih kerana memiliki prospek kenaikan harga saham yang positif, nisbah harga pendapatan (PER) yang rendah dan asas kewangan yang kukuh,” katanya.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...