Khamis, 5 Julai 2012

Serlah pesona Islami dalam diri: Enggan ikut garis panduan al-Quran punca berlaku krisis identiti

Oleh Nik Salida Shuhaila

Enggan ikut garis panduan al-Quran punca berlaku krisis identiti

Ketika penulis berurus niaga di sebuah pusat beli-belah, pemilik kedai beragama Islam berkali-kali meyakinkan penulis barangan jualannya adalah asli dan berkualiti tinggi. Walaupun tidak dipersoalkan, beliau tetap cuba membuatkan penulis percaya kata-katanya.  Mana mungkin penulis menafikan apa yang dikata kerana beliau lebih mengetahui mengenai barangan jualannya. Malah, jika beliau berbohong pun penulis akan percaya juga, tetapi percayakan pembohongan.

Teringat pula ketika berada di United Kingdom, ada dalam kalangan warga yang ragu-ragu untuk bermuamalah dengan peniaga Muslim kerana menurut mereka peniaga beragama Islam sering menipu, tidak jujur dan tidak amanah dalam urusan jual beli.

Keadaan ini bukan hanya berlaku di negara tertentu, tetapi di mana-mana saja, hingga ada mengaitkan hal itu dengan ajaran agama dianuti.

Islam mengajar umatnya sentiasa benar dalam perkataan, perbuatan dan amanah apabila berurusan.

Muslim dan pesona identiti Islami tidak akan mampu menarik perhatian jika ia tidak ditonjolkan.

Alangkah indahnya jika tiada siapa yang ragu-ragu apabila bermuamalah dengan peniaga Muslim, atau jika semua orang memilih untuk berurus niaga dengan orang Islam kerana tiada seorang pun peniaga yang menipu atau tidak jujur dalam perniagaan.

Walaupun kebenaran dan kejujuran membuatkan umat Islam lebih maju dan terkehadapan, tetapi masih ramai memilih sebaliknya.

Krisis keruntuhan identiti sebenar Muslim hari ini berpunca daripada keengganan penganutnya mengikut garis panduan akhlak yang tersenarai dalam al-Quran dan kerana itu Rasulullah SAW diutuskan untuk menyempurnakannya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” Ia memudahkan kita memahami akhlak dianjurkan Allah SWT sekali gus mengamalkannya untuk menyempurnakan syarat menjadi seorang Muslim.

Sebagai seorang Muslim, hidup kita hendaklah sentiasa didasarkan atas keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Jika berlaku pengabaian terhadap pengukuhan keimanan kepada Allah, sudah tentu perjalanan hidup seseorang akan mudah diseleweng menurut kemahuan hawa nafsu.

Keimanan yang mantap penting sebagai penghalang daripada terjerumus ke lembah maksiat di samping mengatur perjalanan hidup yang selamat dan diredai Allah SWT.

Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah apabila disebut nama Allah (dan sifat-Nya) gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada tuhan mereka jugalah mereka berserah (bertawakal).” (Surah al-Anfal, ayat 2)

Justeru, umat Islam tidak sepatutnya jahil identiti Islami yang selayaknya menjadi identiti setiap individu Muslim. Sedikit perbezaan adalah perkara biasa kerana pemahaman dan pengamalan mengenai hukum termaktub dalam al-Quran dan sunnah turut dipengaruhi faktor setempat.

Namun, ia tidak menyebabkan perselisihan besar, malah masih terangkum dalam prinsip hukum yang sama. Tinggal lagi kesediaan untuk mengamalkan setiap panduan akhlak Islami dan menolak yang selainnya.

Setiap tindak tanduk Muslim yang dianjurkan agama untuk mengharmonikan dan mensejahterakan manusia. Memisahkan agama daripada hal keduniaan tidak semestinya memberi kesan negatif kepada pembangunan manusia.

Bagaimanapun, proses pembentukan identiti yang tidak dilunaskan atas paksi akidah yang jitu kepada pencipta-Nya, adalah satu kepincangan.

Hubungan mulia sesama manusia terjamin apabila elok hubungan seseorang individu Muslim dengan pencipta-Nya. Bahkan kepentingan diri setiap individu tidak lagi menjadi keutamaan apabila kepentingan Allah SWT didahulukan, sekali gus menjaga kepentingan umat seluruhnya.

 

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

images (8)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...