Isnin, 9 Julai 2012

Istinbat hukum disusuli kekukuhan hujah: Tak ramai dapat terima keputusan pihak berkuasa agama

Hasliza Hassan | hasliza@bharian.com.my

Tak ramai dapat terima keputusan pihak berkuasa agama

Hasil kajian dan penyelidikan memerlukan kesimpulan atau jawapan untuk persoalan dikaji kerana apa juga tindakan selepas itu akan berpandukan pandangan serta cadangan dikemukakan hasil penyelidikan dibuat.  Namun, bukan mudah untuk membuat kesimpulan atau ringkasan yang mengandungi inti pati daripada keseluruhan penyelidikan khususnya membabitkan hukum kerana apa juga disarankan bakal memberi kesan kepada semua.
Oleh itu, penyelidik perlu menguasai kaedah menentukan hukum berdasarkan hasil kajian supaya setiap permasalahan cuba diselesaikan menepati kehendak semasa dan tidak dipersoalkan nanti.

Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mohamad Saari, berkata kemunculan isu baru membabitkan masyarakat hari ini memerlukan pendekatan mendalam dalam pencarian hukum.

Katanya, banyak cara atau kaedah boleh digunakan dalam pencarian hukum melalui proses penyelidikan dan pegawai penyelidik perlu mendalami bidang ilmu itu serta menguasainya untuk membolehkan mereka menghasilkan kesimpulan mampu beri penyelesaian terbaik.

Perkasa kefahaman

Menyedari hakikat itu, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JAKIM menganjurkan Bengkel Istinbat Hukum yang dihadiri pegawai penyelidik dan istinbat JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Jabatan Mufti.

Dalam ucapan perasmiannya, Mohamad menegaskan penganjuran bengkel itu penting untuk mengukuhkan keupayaan penyelidik khususnya dalam penguasaan kaedah istinbat hukum bagi menangani permasalahan umat dengan penuh berwibawa dan berkesan.

“Pendedahan ini memperkasa kefahaman berkaitan asas kaedah istinbat hukum yang dipersetujui ulama muktabar, selain merumus metodologi istinbat hukum untuk dipraktikkan dalam penulisan kertas kajian hukum di jabatan,” katanya.

Maqasid syariah

Pengisian bengkel menyentuh aspek maqasid syariah membabitkan penggunaan serta pengaruhnya dalam pembentukan hukum, analisis fatwa, penggunaan kaedah taklid dan talfiq serta kaedah berhujah dalam penulisan kertas kerja hukum.

Melihat kepada perkembangan semasa, tidak semua hukum diputuskan oleh pihak berbidang kuasa dapat diterima masyarakat umum. Oleh itu, mereka perlu mempunyai hujah kukuh serta boleh diterima bagi mengelak timbul penentangan.

Ini boleh dilihat dalam isu pengharaman senaman yoga oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia yang bersidang 22 Oktober 2008, menimbulkan pertikaian.

Ahli muzakarah berpendapat yoga yang menggabung amalan fizikal, unsur keagamaan, mantera dan pemujaan bagi mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya, penyatuan diri dengan Tuhan atau tujuan lain boleh merosakkan akidah umat Islam.

Namun, keputusan dihasilkan berdasarkan penyelidikan itu tidak diterima sesetengah pihak yang melihat yoga sekadar senaman bertujuan merehatkan minda dan fizikal.

Pelihara kemaslahatan

Terkini ialah pengharaman buku Allah, Kebebasan dan Cinta, tulisan penulis kontroversi yang menyokong seks bebas, Irshad Manji, tidak ketinggalan turut dipersoal pihak yang menyokong pandangan beliau.

Berdasarkan hasil kajian Seksyen Akidah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JAKIM, mendapati penulis cuba merosakkan nilai akidah dan syariah Islam dengan mencampuradukkan antara Islam dengan fahaman sekularisme.

Maklumat mengenai boleh dibaca dalam laporan bertajuk Keracunan Pemikiran Irshad Manji dalam buku Allah, Kebebasan dan Cinta, disiarkan dalam laman web JAKIM.

Walaupun kesimpulan yang dibuat pihak bertanggungjawab terhadap isu membabitkan kepentingan umat Islam ditentang pihak tertentu, itu bukan penghalang kepada kerja kajian dan penyelidikan.

Mengulas mengenai situasi itu, Mohamad berkata, JAKIM sebagai pihak diberi tugas melihat setiap isu dibangkitkan sentiasa serius serta komited kerana matlamat akhir ialah menjaga kebajikan serta memelihara kemaslahatan umat Islam.

Bagi meningkatkan kredibiliti pegawai penyelidik, pelbagai usaha dilaksanakan termasuk mendedahkan mereka kepada pelbagai sumber hukum yang menjadi asas rujukan selain al-Quran dan sunnah.

Islam Itu Indah

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...