Berita Harian Online|5 tuntutan CUEPACS
Oleh Azmi Md Deros
azmimd@bharian.com.my
2011/06/20
Prasyarat persetujui pelaksanaan PROSPEK
ALOR SETAR: CUEPACS yang baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bermula 1 Julai, mengemukakan lima tuntutan baru sebagai prasyarat mempersetujui pelaksanaan program itu.
Tuntutan utama adalah supaya pangkat pegawai dinaikkan secara automatik selepas menamatkan kursus kompetensi, memberi tiga kenaikan insentif bagi setiap kali kenaikan pangkat dan melantik dua wakil CUEPACS dalam panel penilai PROSPEK,
Dua tuntutan lagi adalah penubuhan jawatankuasa utama yang dianggotai |CUEPACS dan JPA bagi memantau pelaksanaan PROSPEK dan isu berkaitan serta memastikan setiap perkara dipersetujui dalam perjanjian sebelum ini dipatuhi kedua-dua pihak sebelum pekeliling mengenai penilaian dikeluarkan.
Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata CUEPACS mengemukakan tuntutan baru kerana tidak bersetuju dengan beberapa terma dan syarat dalam MoU yang ditandatangani dengan JPA sebelum ini.
“Kita tidak puas hati dengan beberapa perkara dalam PROSPEK dan menuntut supaya lima perkara itu diberi perhatian oleh JPA sebelum kami bersetuju dengan pelaksanaan kaedah baru penilaian prestasi kakitangan awam yang akan dikuatkuasakan bulan depan.
“CUEPACS sudah bertemu Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada Khamis lalu dan beliau setuju supaya kita berbincang dengan JPA mengenai lima tuntutan itu sebelum pekeliling PROSPEK diedarkan.
“Jika pekeliling dikeluarkan tanpa perbincangan antara JPA dengan CUEPACS berhubung tuntutan itu, kita mungkin menolak pelaksanaan PROSPEK,” katanya selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Pekerja RISDA Kedah ke-24, di sini semalam.
Pada 19 Mei lalu, CUEPACS telah menyatakan persetujuan mengenai PROSPEK menerusi MoU yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah bersama Omar yang mewakili CUEPACS, bagi menggantikan PTK yang dimansuhkan pada Januari lalu.
Menerusi PROSPEK, kaedah penilaian kakitangan awam tidak lagi berasaskan peperiksaan, sebaliknya ditentukan panel penilai berwibawa dianggotai oleh ketua jabatan dan kakitangan pelbagai peringkat. Panel penilai akan bertukar setiap tahun bagi mengelakkan elemen berat sebelah dan unsur pilih kasih.
Pelaksanaannya akan membabitkan lapan prinsip penilaian baru, iaitu falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.
Bagaimanapun, falsafah penilaian berasaskan kompetensi diteruskan dengan skopnya diperluaskan meliputi pembangunan kompetensi dan potensi. Hasil penilaian akan menentukan status kompetensi pegawai sama ada mempunyai kompetensi cemerlang dan berpotensi tinggi, memenuhi kompetensi dan berpotensi atau memerlukan pembangunan.
Sementara itu, Omar berkata, CUEPACS berharap kerajaan memberikan dua bulan bonus kepada 1.2 juta kakitangan awam akhir tahun ini, selain Elaun Kos Sara Hidup (COLA) sebanyak RM300 sebulan di seluruh negara dalam Bajet 2012 yang akan dibentangkan pada Oktober nanti.
“Permintaan kami untuk dua bulan bonus tahun lalu tidak dipenuhi dan berharap kali ini ia dipertimbangkan. COLA pula wajar diperluaskan ke seluruh negara kerana kos sara hidup semakin meningkat. Ini kerana dinaikkan pangkat pun, kenaikan gaji mereka hanya sedikit,” katanya.
Label: Malaysiaku, Perkhidmatan Awam
0 ulasan:
Catat Ulasan