Berita Harian Online|PM umum 23 ekosistem dan inisiatif pewujudan kekayaan
2011/04/19
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan 23 ekosistem dan inisiatif pewujudan kekayaan yang akan menarik berbilion ringgit dalam pelaburan serta mengetengahkan lebih banyak kekayaan intelektual negara.
Najib berkata, pelancaran inisiatif itu adalah "pelancaran inovasi", iaitu arah tuju baharu yang akan memberi impak positif dalam pewujudan kekayaan.
"Kesan limpahan itu mempunyai kesan besar dan akan meningkatkan kemahiran perniagaan dan teknikal keseluruhan rangkaian bekalan. Tidak seperti inisiatif penyelidikan dan pembangunan, projek berinovasi ini berjaya menarik pelanggan antarabangsa sebelum pelancarannya lagi," katanya semasa melancarkan inisiatif itu hari ini.
Najib turut menyaksikan pemeteraian hubungan strategik antara rakan usaha sama masing-masing dengan Unit Inovasi Khas (UNIK) yang diletakkan dalam bidang kuasa Pejabat Perdana Menteri bagi mengkomersilkan projek berkenaan.
Perdana Menteri mengulangi bahawa inovasi merupakan komponen penting dalam objektif kerajaan meletakkan asas untuk Malaysia pada 2021 dan melepasinya.
Projek itu dibahagikan kepada tiga kategori - pewujudan kekayaan baharu, hak harta intelek dari universiti, institusi penyelidikan awam dan inisiatif ekosistem.
Menerusi segmen pewujudan kekayaan, terdapat satu projek impak strategik iaitu pelan tindakan biomass minyak sawit kepada Malaysia dan projek asas yang membabitkan bekalan elektrik bagi setiap tingkap, papan pemuka tenaga untuk pengurusan tenaga untuk masa depan, membolehkan peniagaan kecil tidak perlu menggunakan wang tunai dan teknologi canggih untuk industri diod pemancar cahaya (LED).
Pasaran global untuk sektor pewujudan kekayaan itu dianggarkan bernilai AS$472 bilion (RM1.46 trilion) dan kelebihan dalam segmen ini akan memberikan pulangan yang lumayan kepada Malaysia.
Inisiatif dan usaha sama dengan univeristi serta institusi penyelidikan awam termasuk projek perintis dari USM yang dikenali sebagai "Enjin Carian Collagen" membolehkan pengguna memperoleh keputusan carian yang sangat tepat.
Pasaran global untuk usaha yang dimulakan oleh universiti dan institusi penyelidikan awam, dikatakan bernilai AS$101 bilion (RM316 bilion) di dunia.
Projek-projek ini dijangka mempersiapkan universiti untuk keluar daripada mentaliti lama dan meruntuhkan dinding yang mengehadkan pandangan mereka, menggalakkan profesor dan tenaga pengajar menguasai kecenderungan keusahawanan dan bukan semata-mata menyiapkan kertas kerja dan memperoleh geran penyelidikan.
Najib berkata, lapan projek yang dihasilkan menerusi penyelidikan oleh universiti awam, memberi gambaran mengenai kepakaran yang dimiliki oleh saintis Malaysia.
Katanya, hasil akan ditemui dan dikomersilkan.
Perdana Menteri menegaskan projek-projek ekosistem berinovasi yang dilancarkan itu akan mewujudkan persekitaran yang membolehkan inovasi berkembang dan makmur, memberi manfaat kepada sektor seperti pendidikan, pengajian tinggi, industri dan keusahawanan.
"Inisiatif ini akan mewujudkan inovasi berkekalan menerusi usaha sama antara ahli akademik, sektor swasta dan kerajaan dan akan dilaksanakan bersama oleh peserta tempatan dan asing memandangkan inovasi tidak berfungsi dengan baik jika dilakukan secara terpencil," katanya.
Najib berkata, beliau bertanggungjawab melakukan segala-galanya bagi memastikan generasi akan datang negara ini setanding dengan warga dunia lain yang hebat.
Perdana Menteri berkata, perubahan sikap dan minda perlu dilakukan bagi membolehkan transformasi minda dalam menangani cabaran Malaysia.
"Perubahan tidak mudah dilakukan. Untuk menjadi negara yang berinovasi, kita perlukan perubahan mental dalam kerajaan, dalam industri dan dalam sektor pendidikan. Ini untuk mencorak sikap generasi kita yang akan datang. Inilah misi kita," katanya.
Inovasi dikenal pasti sebagai mekanisme utama dalam meningkatkan daya saing Malaysia slain mengekalkan objektif Model Baru Ekonomi yang selari dengan komitmen melonjakkan agend inovasi negara serta Program Transformasi Kerajaan (GTP), dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Julai lalu Najib mengumumkan penubuhan Unit Inovasi Khas (UNIK) bagi mempromosi inovasi.
Sepanjang lapan bulan lalu, UNIK berusaha merealisasikan ekonomi berpacukan inovasi di Malaysia yang meliputi keseluruhan rangkaian dan ekosistem, bekerja untuk mengenal pasti penemuan baharu, memain peranan sebagai pemboleh antara pereka cipta dan entiti perniagaan dan membantu merangka pelan perniagaan dan strategi pemasaran.
UNIK bertanggungjawab terhadap usaha mewujudkan ekosistem yang kondusif dalam merangsang pembangunan inovasi di Malaysia, termasuk mempromosi inovasi di kalangan sektor swasta, institusi pendidikan dan perbadanan sektor swasta.
Antara projek ekosistemnya termasuk Makmal Pencepat Inovasi MyMap dengan Monash University kampus Sunway akan menjalankan penyelidikan, pemetaan dan mengenal pasti tanaman haruman dan mempunyai bahan perubatan untuk merealisasikan pengkomersilan produk dan perladangan berkekalan.
Inisiatf ini juga membabitkan MARDI dari segi tanah dan penyelidikan selain Tanamera Tropical Spa Sdn Bhd sebagai pelanggan. - BERNAMA
Label: Malaysiaku, Perkhidmatan Awam
0 ulasan:
Catat Ulasan