Rabu, 20 April 2011

BNM dijangka naikkan kadar faedah awal Julai

Berita Harian Online|BNM dijangka naikkan kadar faedah awal Julai

2011/04/12
HSBC Global Research menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin menaikkan kadar faedah seawal-awalnya pada Julai bagi membolehkannya menilai kedudukan selepas gempa bumi di Jepun.

Ia berkata, bank pusat itu dilihat lebih memihak kepada menaikkan kadar faedah berdasarkan tinjauannya terhadap permintaan domestik yang baik, namun ketidaktentuan pada peringkat global mungkin akan diambil kira.

Indeks pengeluaran perindustrian Malaysia (IPI) meningkat lima peratus pada asas tahunan pada Februari lalu, lebih rendah berbanding unjuran 5.4 peratus.

Sebagai perbandingan, pengeluaran meningkat hanya 0.5 peratus tahun ke tahun pada Januari.

“Memang baik untuk melihat pengukuhan sektor luar Malaysia selepas berbulan mencatat prestasi suram, walaupun IPI tidak mencatat peningkatan mengejutkan seperti jumlah eksport minggu lalu," katanya menerusi kenyataan semalam.

HSBC bagaimanapun terus berpandangan berhati-hati terhadap angka itu kerana ia adalah bagi Februari, iaitu sebelum gempa bumi pada 11 Mac di Jepun serta kebimbangan mengenai rangkaian bekalan yang tidak menentu.

Justeru, katanya, Bank Negara pastinya mahu lebih banyak masa untuk menilai keadaan.

Berdasarkan pentingnya eksport berterusan terhadap ekonomi Malaysia dan impak pertumbuhan yang lebih perlahan daripada yang dijangkakan terhadap penggunaan domestik, HSBC berkata, Bank Negara tidak akan menaikkan kadar faedah sehingga ia dapat memastikan pemulihan dalam sektor luaran.

“Secara keseluruhannya, kami menjangkakan Bank Negara menaikkan kadar faedah, tetapi kami tidak bersetuju dengan cadangan bahawa akan bermula pada 5 Mei ini," katanya.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...