Rabu, 20 April 2011

23 inisiatif

Berita Harian Online|23 inisiatif
Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2011/04/19
Projek tumpu inovasi jana kekayaan baru, kesejahteraan rakyat: Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak mengumumkan 23 inisiatif untuk menjana kekayaan baru dan kesejahteraan rakyat melalui inovasi yang beliau sifatkan sebagai Pelancaran Inovasi yang bertepatan dengan visi menjadikan negara sebagai Malaysia Inovatif.

Inisiatif berkenaan meliputi lima projek pewujudan kekayaan dengan mencungkil khazanah negara, lapan projek universiti awam daripada Pencarian Harta Intelek serta 10 projek inovasi ekosistem, selaras matlamat kerajaan untuk menggunakan inovasi sebagai asas membina Malaysia pada 2020 dan selepasnya.

Perdana Menteri berkata, lima projek pewujudan kekayaan itu ialah pengubah permainan dalam industri berkaitan seperti memanfaatkan bahan buangan untuk menjana kekayaan, penjanaan tenaga daripada setiap sumber, pengurusan tenaga untuk masa depan dan merevolusi landskap pembayaran bagi perniagaan kecil.

Katanya, walaupun negara hanya terbabit sedikit saja dalam sektor yang nilai pasaran global semasanya dianggarkan RM1.46 trilion, ia akan menguntungkan negara.

“Projek ini berjaya menarik minat pelanggan antarabangsa dan hasilnya akan dapat kita lihat dalam masa setahun dari sekarang. Kesan limpahannya sangat jauh dan akan mempertingkat kemahiran teknikal dan perniagaan seluruh rangkaian bekalan,” katanya ketika menyampaikan taklimat media Inisiatif Penjanaan Kekayaan Baru dan Pembangunan Ekosistem Negara Unit Inovasi Khas (UNIK) di sini, semalam. Pada majlis itu, Najib turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara rakan usaha sama dan UNIK.

Mengenai projek universiti awam, Najib berkata, 113 daripada lebih 1,000 projek dalam fasa satu Pencarian Harta Intelek sudah diteliti dan disenarai pendek kerana berpotensi tinggi untuk dikomersilkan.

Bagaimanapun, lapan projek itu hanya sebahagian kecil daripada jumlah sebenar dan anggaran keseluruhan saiz pasaran global ialah RM316 bilion.

“Negara harus menembusi pasaran global bagi menawan sebahagian daripada nilai pasaran berkenaan. Projek itu sudah sedia untuk dibawa ke dunia komersial dan hasilnya akan dapat dilihat sebelum suku kedua 2012,” katanya.

Bagi 10 projek inovasi ekosistem pula, Perdana Menteri berkata, ia akan mencipta persekitaran untuk inovasi berkembang maju dan berjaya, terutama dalam sektor pendidikan, pengajian tinggi, industri serta keusahawanan.

Najib yang menegaskan kesejahteraan masyarakat juga amat penting seiring penciptaan kekayaan, berkata inisiatif itu akan membawa kepada kemampanan inovasi melalui kerjasama antara golongan akademik, sektor swasta dan kerajaan serta pemain industri tempatan dan asing.

Beliau berkata, inovasi ialah mengenai mencipta nilai baru melalui perubahan yang boleh menjana pendapatan rakyat dan kualiti hidup lebih baik kerana ekonomi berkait dengan kesejahteraan masyarakat.

“Kata kuncinya ialah berubah. Jika kita tidak berubah, kita tidak boleh merentasi gelombang pembaharuan dan ketinggalan, sedangkan dunia kian maju. Sehingga abad ke-20, perubahan yang kita nampak ialah pada sempadan negara mengikut peperangan. Namun kini, kita melihat perubahan sempadan ekonomi. Negara yang berada dalam zon selesa sudah dipinggirkan dan dipotong oleh negara kompetitif dan inovatif.

“Jika sebelum ini, cabaran kita ialah sikap tidak apa, sekarang pula mentaliti lebih kurang. Kita kena teliti dengan semua yang dilakukan. Lebih kurang tidak boleh dipakai. Kita perlu berubah supaya kita boleh keluar dari zon selesa,” katanya.

Dalam konteks ini, Najib berkata, transformasi minda amat penting kerana untuk menjadi negara inovatif, perubahan mental diperlukan dalam kerajaan, industri dan sektor pendidikan bagi membentuk sikap generasi masa depan.

Di negara maju, katanya, inovasi sudah diterima pakai sebagai mekanisme kemampanan penciptaan kekayaan di mana kemampanan adalah matlamat kedua Model Ekonomi Baru (MEB).

“Untuk Malaysia menjadi negara maju, usaha penciptaan kekayaan perlu menjadi mampan melalui inovasi,” katanya sambil meminta media membantu beliau untuk membuatkan rakyat nampak visi Malaysia Inovatif.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...