Rabu, 19 Januari 2011

Berita Harian Online | MOSTI sedia RM200j R&D

MOSTI sedia RM200j R&D

2011/01/18

imageDARI kiri Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof, Maximus, Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Madinah Mohamad (dua dari kanan) dan warga MOSTI melepaskan rama-rama pada majlis perasmian Sience Wonderland di Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur.
Penggubalan Dasar Sains dan Teknologi Ketiga mula diproses

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperuntukkan RM200 juta bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi tempoh dua tahun mulai tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili, berkata sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), RM2.9 bilion digunakan bagi membiayai aktiviti R&D.

"Buat masa ini, kita akan memperuntukkan RM200 juta untuk R&D untuk digunakan sehingga 2012.

"Tetapi, kita berharap, kita dapat peruntukan yang menyamai RMKe-9 yang boleh digunakan dalam tempoh tiga tahun terakhir RMKe-10," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi Mosti di Pusat Sains Negara di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai peruntukan kementerian bagi tahun pertama pelaksanaan RMKe-10 tahun ini.

Katanya, kementerian masih dalam proses akhir menyediakan jumlah peruntukan keseluruhan untuk kementeriannya tahun ni.
Terdahulu, berucap pada majlis itu, Maximus berkata, melalui pengembangan R&D dalam bidang STI (Sains, Teknologi dan Inovasi) dalam tempoh RMKe-9, Mosti berjaya mewujudkan 192 syarikat permulaan yang menjalankan perniagaan dalam pelbagai bidang berkaitan STI dan menyediakan 18 inkubator teknologi baru.

"Sejumlah 108 hasil penyelidikan telah dipindahkan kepada usahawan, di samping merekodkan sejumlah 1,798 harta intelek dan 13,259 penerbitan," katanya.

Mengenai penggubalan Dasar Sains dan Teknologi Ketiga, beliau berkata, proses penyediaannya telah pun bermula.

Katanya, penggubalan dasar itu amat penting kerana ia akan menjadi garis panduan yang komprehensif dan jelas bagi hala tuju negara dalam bidang ini dalam jangka masa panjang.

"Kita jangka ia akan siap dalam tempoh enam bulan akan datang untuk dibentangkan kepada kabinet," katanya. –
BERNAMA

Berita Harian Online | MOSTI sedia RM200j R&D

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...