Ahad, 16 Januari 2011

Berita Harian Online | Diploma perkasa

Diploma perkasa
Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

2011/01/15

image

ORANG ramai tidak melepaskan peluang mengunjungi Karnival Pengajian Tinggi Negara 2011 Ke-7 di Pusat Dagangan Terengganu, semalam. - Foto Aswadi Alias
148,500 tempat untuk lepasan SPM di IPTA

KUALA TERENGGANU: Program peringkat diploma yang sebelum ini dilihat sebagai pilihan kedua atau ketiga akan diperkasakan supaya menjadi pilihan utama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kementerian merancang mengarusperdanakan program pengajian diploma di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara bagi melahirkan modal insan berkualiti.
 
Berikutan itu, katanya, tempoh pengajian program diploma akan dipendekkan tidak melebihi dua setengah tahun berbanding tiga tahun ketika ini, selain menggalakkan pelajar mengikuti diploma di Politeknik yang menawarkan yuran pengajian jauh lebih rendah iaitu anggaran RM400 setahun, berbanding hampir RM1,000 setahun di universiti awam.
Kementerian mahu pelajar lepasan SPM tidak hanya bertumpu kepada program matrikulasi dan asasi sains, tetapi juga menjadikan program diploma sebagai pilihan utama mereka.

Kementerian akan berusaha memartabatkan diploma menerusi pengiktirafan badan profesional dalam dan luar negara, manakala graduannya diiktiraf pada peringkat antarabangsa, katanya pada sidang media selepas perasmian Karnival Pengajian Tinggi Negara Jom Masuk U kali ketujuh di Pusat Dagangan Terengganu di sini, semalam. Karnival dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau turut mengumumkan 148,500 tempat untuk kemasukan lepasan SPM atau setaraf di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tahun ini. Daripada jumlah itu, 14,000 tempat untuk program asasi di IPTA, diploma IPTA (34,000), diploma politeknik (51,000), sijil di kolej komuniti (11,000) serta sijil di institut latihan kemahiran awam (ILKA) sebanyak 38,500.

Katanya, jumlah itu daripada 469,500 tempat secara keseluruhan yang disediakan, selain di IPT swasta (IPTS) dan peluang pendidikan lanjutan lain seperti Tingkatan Enam, Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Kementerian Pelajaran serta Program Persediaan ke Luar Negara secara tajaan.
Mohamed Khaled berkata, kementerian juga sedang mengkaji beberapa cadangan pelaksanaan bersesuaian, termasuk menambah program diploma yang baru di IPTA dan politeknik.

Program diploma menawarkan fleksibiliti kepada pelajar kerana selepas menamatkan pengajian, mereka mempunyai pilihan sama ada menyambung ke peringkat lebih tinggi atau terus bekerja. Pelajar yang mempunyai diploma juga ada kelebihan kerana mereka diberi laluan khas untuk menyambung pengajian di universiti teknikal (MTUN), katanya.

Katanya, langkah memperkasakan program diploma juga dapat menyediakan graduan berkelayakan untuk memenuhi program kemahiran dan teknikal di universiti teknikal serta meluaskan kebolehpasaran graduan diploma kemahiran dan teknikal selaras matlamat Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).

Karnival Jom Masuk U tahun ini untuk pertama kalinya menawarkan program sijil dan sijil lanjutan. Ini berikutan Kementerian Pengajian Tinggi sudah diberi mandat untuk mengendalikan Pusat Pengambilan Setempat bagi program sijil dan sijil lanjutan, di samping diploma dan diploma lanjutan yang ditawarkan 27 Institut Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional atau TEVT serta ILKA, katanya.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...