Berita Harian Online | Ulul Albab: Beza pendapat jangan sampai pecah-belah
Oleh Abdurrahman Haqqi
2010/03/21
Tidak ada penghalang bagi tahqiq ilmu asalkan perselisihan dalam suasana kasih sayang
PADA Khamis lalu, penulis dimasukkan ke Wad 8, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Salihah (RIPAS), Bandar Seri Begawan, Brunei. Baru kali itu penulis mendapat rawatan serius iaitu ‘dipotong’ (bahasa Brunei) yakni dibedah siku kiri.
Ketika berada di ruang bedah, semua peralatan sudah disiapkan. Penulis terbayang dan terfikirkan ilmuwan Islam unggul yang pernah dimiliki sejarah tamadun dunia iaitu Ibnu Sina yang diberi gelaran Al-Rais, sang ketua, presiden atau pemimpin. Penulis teringat sumbangan Ibnu Sina dalam bidang perubatan termasuk cara pembedahan dalam bukunya Al Qanun Fil Tabib (Undang-Undang dalam Perubatan).
Setelah selesai penulis dibedah dengan selamat selama dua jam, sambil memerhatikan lima doktor pakar bersatu pendapat dalam kes penulis, tidak ada perbalahan dan perbezaan pendapat antara mereka yang akhirnya membawa kepada keberhasilan proses pembedahan.
Malangya, jika kes sama ditujukan kepada ilmuwan agama yang akan timbul adalah enam pendapat bukan lima dan masing-masing akan mempertahankan pendapatnya dan setiap orang tidak akan berasa senang kecuali pendapatnya yang menang. Oleh kerana fenomena inilah, ulama Islam dalam bidang keagamaan tidak ada yang menonjol di Barat.
Kita mesti menerima hakikat yang ia akan tetap berlaku sehingga ke akhir zaman.
Dalam bukunya Maza Yakni Intima’i Li al-Islam (Apa Ertiya Saya Memeluk Agama Islam), Fathi Yakan menulis: “Saya mesti meyakini bahawa pendapat dan pandangan para salaf adalah lebih utama untuk diikuti supaya dapat menyelesaikan perbahasan mengenai pentakwilan dan penthakthilan sesetengah ayat suci al-Quran, yakni membiarkan sebahagian daripada sifat Allah di dalam al-Quran dengan menyerahkan hakikat sebenar mengenai maknanya kepada Allah SWT.
“Saya juga meyakini bahawa pelbagai bentuk pentakwilan sesetengah ayat tertentu oleh golongan khalaf (terkemudian) tidak wajar dijadikan sebab kepada perselisihan yang berlarutan dan jangan sampai timbul kembali perbalahan di antara golongan khalaf pada masa lampau mahupun masa kini.”
Pandangan Fathi ini sebagai penjelasan kepada Usul 20 atau 20 Perkara Hassan Al-Banna yang mana perkara ketujuh menyebut: “Setiap Muslim yang tidak sampai ke peringkat meneliti (nadzar) dalil-dalil hukum cabang (furu’) boleh mengikuti mana-mana imam. Elok sekiranya seseorang itu cuba berijtihad sekadar yang beliau mampu bagi mengetahui dalilnya.
Beliau juga hendaklah menerima setiap petunjuk yang disertai dengan dalil apabila beliau yakin dengan kebaikan dan kepada orang yang memberi petunjuk kepadanya. Jika sekiranya beliau terdiri daripada kalangan orang yang berilmu, beliau hendaklah mencukupkan kekurangannya dari segi ilmu sehingga sampai ke peringkat meneliti dalil hukum.”
Perkara kelapan pula menyebut: “Perselisihan fikah dalam perkara cabang tidak sepatutnya menjadi sebab kepada perpecahan dalam agama dan tidak seharusnya membawa kepada perbalahan atau permusuhan. Setiap orang yang berijtihad ada pahalanya. Walau bagaimanapun tidak ada penghalang bagi melakukan tahqiq ilmu/penjelasan ilmiah dalam masalah yang diperselisihkan dalam suasana kasih sayang kerana Allah SWT serta kerjasama dalam menyampaikan kebenaran tanpa terbawa-bawa kepada pertengkaran yang dicela serta taksub.”
Perbezaan pendapat dibenarkan oleh Islam bahkan ia menjadi bukti kesesuaian Islam sepanjang masa walaupun tidak ada ilmuwan agama Islam yang terkenal di Barat. Yang tidak dibenarkan Islam ialah perbalahan yang menjurus kepada perpecahan dan peperangan sesama sendiri walaupun ada ilmuwan Islam yang ditonjolkan di Barat.
Seorang pakar jiwa Dr Riel Karienji menyatakan: “Sebenarnya doktor penyakit jiwa menyedari bahawa keimanan yang kukuh dan pegangan yang teguh terhadap ajaran agama oleh seseorang adalah satu jaminan untuk menyembuhkan mereka daripada penyakit gelisah, tekanan perasaan, penyakit saraf dan lain-lain. Oleh itu hukum agama yang tidak didasari agama akan menyesatkan sedangkan hukum sains yang tidak didasari agama akan membawa kepada kufur nikmat.
Allah berfirman bermaksud: “Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. Dan sesungguhnya syaitan itu tetap menghalangi mereka daripada jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang yang mendapat hidayah petunjuk.”(Surah Al-Zukhruf: 36-37).
Kita diwajibkan untuk memegang kuat agama seperti sabdanya bermaksud: “Sesungguhnya, barangsiapa di kalangan kamu yang masih hidup nanti, nescaya dia akan melihat banyak perselisihan. Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah khulafa Rasyidin yang mendapat hidayat. Gigitlah ia dengan kuat (iaitu berpegang teguhlah kamu dengan sunnah itu) dan berwaspadalah kamu daripada melakukan perkara yang diada-adakan kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat dan setiap kesesatan itu dalam neraka.” (Hadis riwayat al-Tirmizi) Bolehkah kita?
Label: Agama
0 ulasan:
Catat Ulasan