Gilir tugas 'panas'
Oleh Ifwan Tun Tuah
ifwan@bharian.com.my
2011/02/21
AHMAD bersama Hisham (dua dari kanan), Azman dan Ahmad Naim (kiri) pada sesi diskusi bersama pengamal media di Port Dickson, semalam.
Makmal NKRA cadang sistem elak gejala rasuah agensi penguatkuasaan
PORT DICKSON: Semua pegawai dan kakitangan awam yang menjawat jawatan ‘panas’ terutama dalam agensi penguatkuasaan akan diwajibkan mengikuti sistem penggiliran tugasan sebagai salah satu usaha kerajaan memerangi rasuah.
Antara yang terbabit adalah pegawai dan anggota Jabatan Imigresen dan Kastam Diraja Malaysia yang bertugas di pintu masuk negara, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pegawai daerah dan penolong pegawai daerah serta pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah, Datuk Hisham Nordin, berkata pihaknya sudah selesai membuat kajian mengenai pelaksanaan sistem berkenaan dan akan menyerahkannya kepada Kabinet dalam masa terdekat.
“Butiran mengenai sistem berkenaan akan diperincikan dan diumumkan tidak lama lagi selepas mendapat kelulusan kerajaan. Kita sudah mengenal pasti jawatan yang dikategorikan ‘panas’ dalam semua jabatan serta agensi penguatkuasaan yang membolehkan wujud hubungan luar biasa antara pegawai dengan pelanggan dan mendorong perlakuan rasuah.
“Bagaimanapun, bukan mudah untuk melaksanakan sistem itu kerana membabitkan banyak aspek termasuk kos serta perubahan sistem yang sudah diamalkan berpuluh tahun sebelum ini dan pasti menerima sedikit bantahan pegawai dan kakitangan terbabit.
“Disebabkan itu, kita mengambil masa lama untuk mengkaji cara terbaik bagi melaksanakannya dan berharap semua pihak menerimanya dengan positif demi kebaikan bersama,” katanya pada sidang media Makmal Mini NKRA Rasuah, di sini semalam.
Makmal mini berkenaan antara lain diadakan untuk menyemak dan mendapatkan maklum balas daripada kumpulan fokus berhubung kesan pelaksanaan inisiatif NKRA sepanjang tahun lalu dan merancang strategi dan penambahbaikan untuk tahun ini.
Ia turut membincangkan strategi fokus media serta penilaian antarabangsa dan pelan tindakan bagi mempertingkatkan skor penilaian Indeks Persepsi Rasuah (CPI) antarabangsa.
Hisham sebelum itu mempengerusikan sesi diskusi bersama pengamal media disertai Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Media Prima, Datuk Ahmad A Talib; bekas Pengurus Besar BERNAMA, Datuk Seri Azman Ujang yang juga Anggota Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM dan Penolong Pengarang Berita Edisi Mingguan Berita Harian, Ahmad Naim Tahir.
Hasil perbincangan itu, Hisham merumuskan pihaknya perlu meningkatkan kerjasama dengan pengamal media supaya segala usaha untuk memerangi rasuah dapat disampaikan kepada rakyat serta masyarakat luar termasuk pelabur melalui laporan media.
Label: Perkhidmatan Awam
0 ulasan:
Catat Ulasan