Sabtu, 19 Februari 2011

Berita Harian Online | Sambut perayaan Kristian perlekeh akidah, pegangan Muslim (sambutan hari valentine)

Sambut perayaan Kristian perlekeh akidah, pegangan Muslim


2011/02/12
PANEL Kajian Akidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memutuskan amalan menyambut Hari Valentine adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Amalan merayakan Valentine Day tidak pernah dianjurkan Islam. Roh perayaan itu mempunyai unsur Kristian, amalannya bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan Islam.”

Hakikatnya larangan bagi meraikan sambutan Hari Valentine berpaksikan kepada dua alasan utama iaitu pertama, ia dilarang nas syarak dan kedua ia mampu mendatangkan kesan kehancuran yang besar kepada agama, bangsa dan negara.
Menurut Rizki Ridyasmara dalam bukunya, Valentine Day, Natal, Happy New Year, April Mop, Hallowen: So What?, sejarawan masih tiada kata sepakat berkenaan peristiwa apa sebenarnya menjadikan Hari Valentine terus diingati.

Bagaimanapun, berdasarkan sejarah, ada empat pendapat popular berkaitan Hari Valentine.

Pendapat pertama mengaitkan Hari Valentine dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia iaitu upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari.

Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta (Queen of Feverish Love) bernama Juno Februata. Pada hari itu pemuda Rom memilih nama gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak, kemudian mereka mencabut nama daripada kotak terbabit secara rawak.
Nama gadis yang tertera akan menjadi pasangan dan objek hiburan seksnya selama setahun. Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan Dewa Lupercalia daripada gangguan serigala dengan menyembelih anjing dan kambing.

Kemudian mereka memilih dua pemuda Rom dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang itu ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu. Selepas itu diadakan perarakan besar-besaran diketuai dua pemuda itu yang memukul orang ramai di laluan dengan kulit binatang dan wanita berebut untuk menerima pukulan kerana beranggapan ia akan menambahkan kesuburan mereka.

Pendapat kedua mengaitkannya dengan kematian paderi St Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Peristiwa ini yang sering dikaitkan dengan kisah pengorbanan besar demi keagungan cintanya terhadap agama sementara versi lain, cinta kepada seorang gadis.

Pendapat ketiga, ia dirayakan bersempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St Valentine ialah individu yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam itu.

Disebabkan sumbangan itu, St Valentine dianggap kekasih rakyat dan 14 Februari 1492 adalah tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol yang dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.

Pendapat keempat pula berdasarkan apa yang dinukilkan Geoffrey Chaucer, penyair Inggeris dalam puisinya. Sambutan Hari Valentine bersempena dengan sifat burung yang musim mengawannya pada 14 Februari.

Berdasarkan versi itu, jelaslah tiada hubungan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dengan budaya kita mahupun agama bagi umat Islam. Malahan sudah terang lagi bersuluh mempunyai kaitan dalam
memperlekehkan akidah Islam dan orang Islam sendiri.

Berita Harian Online | Sambut perayaan Kristian perlekeh akidah, pegangan Muslim

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...